Mohd Hafizee Mohd Arop


EMPAT sekeluarga membabitkan nenek, menantu wanita dan dua cucu lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di Batu Gajah hari ini atas tuduhan mencuri dan memiliki barang curi, Jumaat lalu.

Tertuduh, P Neela, 60; menantunya S Indra, 39, dan dua cucunya Durai Raj, 20, serta seorang lagi berusia 17 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa secara bersama di hadapan Majistret Mohd Fitri Sadaruddin.

Pertuduhan pertama, keempat-empat mereka didakwa secara bersama mencuri pelbagai barangan bernilai RM900 milik Pasar raya 99 Speedmart di Laluan Hijau 1, Taman Pusing Hijau, Pusing, Batu Gajah antara 5 hingga 6.30 petang, Jumaat lalu.

Bagi pertuduhan itu, semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, mereka didakwa secara bersama memiliki pelbagai jenis pakaian bertanda harga TF Value Mart yang disyaki dicuri dan gagal memberi keterangan serta penjelasan memuaskan bagaimana memperoleh barangan itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka di stesen minyak Petron Pusing, Jalan Pusing-Lahat, Batu Gajah 6.30 petang hari sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Farhana Hashim manakala tertuduh diwakili peguam S Sundarajan.

Mohd Fitri kemudiannya membenarkan tertuduh remaja berusia 17 tahun dijamin RM4,500 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan, manakala tiga yang lain RM7,000 dengan seorang penjamin setiap seorang bagi kedua-dua pertuduhan dan kes disebut semula 4 April ini.

Harian Metro Sabtu lalu melaporkan, empat sekeluarga yang melarikan diri dengan menaiki kereta Proton Saga berwarna putih itu ditahan polis jam 6.30 petang di sebuah stesen minyak di Pusing, Batu Gajah.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri dalam kenyataannya berkata, semua barang yang dipercayai dicuri itu ditemui di bahagian belakang bonet kereta Proton Saga sebelum semua suspek ditahan untuk siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 12:33 PM
NENEK, menantu dan dua cucunya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Gajah hari ini. FOTO Abdullah Yusof
NENEK, menantu dan dua cucunya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Gajah hari ini. FOTO Abdullah Yusof