Noraniza Azmi

Pelakon, model dan penyanyi popular berasal dari Sabah, Marsha Milan Londoh sekali lagi membuktikan vokalnya yang mantap menerusi lagu Cinta ciptaan Akim dan Stacy atau nama pena mereka Hang Nadim dan Bunga Cantik. 

Lebih menarik lagi, lagu hasil kerjasama Monkeybone dan Rhythm & Rhyme Entertainment ini juga menjadi salah satu lagu runut bunyi bagi drama slot Akasia: Masih Ada Rindu yang diterbitkan oleh Nuansa Film Productions. 

"Saya tanya Marsha apa arahan muzik yang dia mahukan dan dia mahukan lirik yang menggambarkan kekuatan seseorang umpama dilahirkan semula. 

"Semasa berbincang dengan Akim, kami rasa lagu yang tercipta semasa sesi jamming mempunyai elemen yang diminta dan sesuai untuk Marsha. 

"Apatah lagi lagu ini memerlukan kemahiran daripada segi teknikal yang mana penyanyi yang dipilih haruslah bersuara rendah dan mampu terus pergi ke nada tinggi. Oleh itu, Marsha adalah orang yang paling sesuai," kata Stacy. 

Pada masa sama, Marsha juga teruja apabila lagu nyanyiannya berkumandang dalam drama Akasia: Masih Ada Rindu. 

"Ini penghormatan buat saya apabila lagu Cinta dipilih untuk menjadi salah satu lagu tema bagi drama Masih Ada Rindu yang mewarnai slot Akasia. 

"Lebih teruja apabila lagu yang dibawakan ini sangat segar dari susunan muzik dan lirik. Inilah lagu yang ingin saya sampaikan kepada pengikut dan peminat saya. 

"Pastinya drama ini dapat membuatkan lagu Cinta menjadi siulan ramai sekaligus memberi impak kepada penonton untuk lebih menghayati drama Masih Ada Cinta melalui melodi dan lirik. InsyaAllah," kata Marsha. 

Lagu ini dijangka menjadi hit dengan penangan drama Masih Ada Rindu di TV3, apatah lagi dengan sokongan daripada pengikut Instagram Marsha yang mencapai lebih 900,000 pengikut. 

Begitu juga dengan Akim dan Stacy yang masing-masing mempunyai 1.6 juta dan juga dua juta pengikut.

Anda boleh dengarkan lagu Cinta menerusi laman Youtube di bawah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 5:52 PM