Noraniza Azmi

SEKALI lagi Slot Akasia membawakan drama penuh emosi berjudul Hatimu Sedingin Salju yang akan mula ditayangkan pada hari ini, jam 7 malam. 

Drama ini bakal menampilkan lakonan mantap Hisyam Hamid sebagai Arman, Aprena Rose sebagai Rania dan Hafeez Mikail sebagai Nabil. 

Sinopsis Drama Hatimu Sedingin Salju

Arman tidak pernah memikirkan soal cinta kerana mementingkan urusan perniagaan diwarisi daripada ayahnya, Datuk Jamal sekaligus membuatkan ibu bapanya resah berikutan umurnya yang semakin meningkat. 

Suatu hari, adik Arman, Nabil mendesak Arman menemaninya bercuti ke sebuah pusat peranginan di Langkawi untuk menyambut hari jadinya. 

Seperti biasa Arman menolak tetapi selepas kalah dalam pertaruhan dengan Nabil, Arman terpaksa mengikut Nabil dengan syarat tidak lebih dua hari.

Arman bertolak ke pusat peranginan tersebut bersama Nabil tanpa mengetahui muslihat Nabil dan ibu bapanya untuk menemukan Arman dan calon isterinya, Rania yang juga rakan baik kepada ibu bapa Arman yang bercuti di tempat yang sama. 

Tanpa Nabil ketahui bahawa Rania sebenarnya adalah gadis yang pernah mencuri hati Arman suatu ketika dahulu. 

Arman terpaksa melepaskan Rania kerana mahu memberi peluang kepada kawan baiknya Haikal yang sangat menyintai Rania.

Perasaannya dipendam sehingga menyebabkan Arman berputus asa untuk bercinta lagi. Adakah cinta Arman dan Rania akan bersatu?

Jangan lupa saksikan Drama Hatimu Sedingin Salju, setiap Isnin hingga Jumaat jam 7 malam hanya di TV3.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 5:38 PM