AirAsia Allstars menyertai petugas barisan hadapan sebagai sukarelawan di pusat vaksinasi Covid-19 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. FOTO Ihsan AirAsia
AirAsia Allstars menyertai petugas barisan hadapan sebagai sukarelawan di pusat vaksinasi Covid-19 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. FOTO Ihsan AirAsia
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kebiasaannya kita melihat wanita cantik dan lelaki kacak berdiri di pintu pesawat menyambut penumpang, namun pengalaman sama dapat dirasai di dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Lembah Klang.

Ini berikutan 300 sukarelawan 'AirAsia Allstars' terdiri daripada kru kabin, jurutera, kakitangan darat, pegawai pejabat dan pihak pengurusan akan menjalankan tugas mengalu-alukan kedatangan penerima vaksin serta pemeriksaan dokumen dan membantu mereka dalam proses pendaftaran.

Selain itu, sukarelawan AirAsia Allstars itu juga ditugaskan untuk membuat pengumuman dan memberikan taklimat mengenai gejala yang mungkin dialami.

Mereka menyertai petugas barisan hadapan sebagai sukarelawan bukan perubatan di dua PPV iaitu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan Pusat Konvensyen Setia City, Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tan Sri Tony Fernandes berkata, lebih 1,000 Allstars bakal mengambil bahagian sebagai sukarelawan untuk menjayakan program vaksinasi negara dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

"Saya berbangga dengan kakitangan kami terutamanya kru kabin yang memang terlatih dan berkelayakan untuk membantu dan menangani situasi perubatan, selain menjalankan tugas kawalan orang ramai di pusat vaksinasi Covid-19.

"Saya percaya mereka teruja untuk kembali menyarung pakaian seragam dan melakukan tugas dengan sebaiknya untuk membantu orang ramai.

"Selain itu, ramai juga kakitangan pejabat termasuk Ketua Pegawai Eksekutif daripada pelbagai perniagaan kami seperti airasia farm, airasia money, Teleport dan e-dagang meluangkan masa mereka untuk membantu rakyat Malaysia mendapatkan vaksin," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut Tony, AirAsia adalah syarikat untuk semua.

"Justeru, kami berbangga kerana dapat memainkan peranan untuk membantu kerajaan mempercepatkan kadar vaksinasi untuk mencapai sasaran 80 peratus populasi yang divaksin pada akhir tahun ini.

"Malah, kami komited untuk terus membantu masyarakat dalam apa jua cara dalam masa yang mencabar ini dan mendorong lebih ramai orang untuk turut sama membantu mencapai sasaran vaksinasi negara," katanya.

Menurut beliau, syarikat penerbangan tambang murah itu juga terbabit dalam proses pengangkutan vaksin dari Kuala Lumpur ke Kuching dan ke Vientiane, Laos.

"Mengambil vaksin adalah cara utama untuk menjadikan Malaysia kembali seperti sedia kala dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada Allstars yang mendaftar dan menerima vaksin secepat mungkin.

"Semua kru penerbangan kami yang beroperasi di Indonesia sudah divaksin dan kami menjangka sebahagian besar Allstars kami di rantau ini akan menerima vaksin dalam beberapa bulan akan datang.

"Sektor pelancongan dan perjalanan udara amat penting untuk pemulihan ekonomi negara," katanya.

Tony berkata, program vaksinasi yang dilancarkan secara agresif dan cekap, ditambah pula dengan pendidikan yang lebih baik dalam kalangan masyarakat mengenai penerimaan vaksin dan pasport kesihatan digital yang diseragamkan di seluruh dunia adalah kunci untuk pemulihan perjalanan udara.

"Secara kasarnya, kita memerlukan sekitar 50 peratus populasi yang divaksin untuk memulakan perjalanan antarabangsa.

"Saya yakin kita dapat melakukannya dalam masa terdekat dengan kerja keras dan komitmen kerajaan serta pihak berkuasa kesihatan dalam menangani pandemik ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 3:25 PM