Undian pula dikira berdasarkan pengalaman pengembara udara baru-baru ini, termasuk sebelum pandemik Covid-19.
Undian pula dikira berdasarkan pengalaman pengembara udara baru-baru ini, termasuk sebelum pandemik Covid-19.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: AirAsia sekali lagi dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Dunia untuk tahun kesembilan berturut-turut dan Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Dunia untuk tahun kelima berturut-turut di World Travel Awards (WTA) 2021.

WTA mengiktiraf dan meraikan kecemerlangan di seluruh sektor utama industri perjalanan, pelancongan dan hospitaliti.

Undian pula dikira berdasarkan pengalaman pengembara udara baru-baru ini, termasuk sebelum pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Limited, Bo Lingam berkata, ini adalah berita baik bagi melengkapkan satu lagi tahun yang amat mencabar buat Kumpulan.

"Pengiktirafan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia selama sembilan tahun berturut-turut dan Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia selama lima tahun berturut-turut amat membanggakan.

"Walaupun kami tidak dapat terbang lebih kerap buat masa ini, kami berterima kasih kepada penganjur WTA, 600 juta tetamu kami, pemain industri dan yang paling penting, Allstars atas dedikasi dan komitmen mereka yang tidak berbelah bagi dalam mengharungi tahun yang mencabar ini.

"Walaupun tahun 2020 amat menguji, tahun 2021 sekali lagi mencabar kita semua.

"Akhirnya, kita dapat melihat langit yang semakin cerah berikutan pembukaan sekatan perjalanan dunia secara beransur-ansur yang dipacu oleh program vaksinasi, ujian yang lebih baik, pendidikan, gelembung perjalanan dan pasport kesihatan global," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, selepas hampir dua tahun dilanda pandemik, pihaknya berharap untuk menyambut tahun baharu dan terus berinovasi pada tahun 2022.

"Kami percaya syarikat penerbangan kami akan kembali lebih kuat dan akan terus menawarkan perkhidmatan perjalanan udara yang selamat, berpatutan, dipercayai dan terbaik merentasi rantau Asia Pasifik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Disember 2021 @ 1:22 PM