Bisnes HM


Kuala Lumpur: Malaysia Aviation Group (MAG) telah menggerakkan 80 kakitangannya dari seluruh kumpulan untuk menjadi sukarelawan di dua pusat vaksinasi utama iaitu di Axiata Arena, Bukit Jalil dan Pusat Konvensyen KL mulai hari ini hingga 18 Jun 2021.

MAG dalam kenyataan hari ini berkata, sukarelawan itu atau lebih dikenali sebagai MH Rangers, terdiri daripada kru kabin dan penerbangan Malaysia Airlines serta Firefly termasuk pekerja daripada anak syarikat di bawah MAG.

"Mereka diberikan tanggungjawab untuk tugas bukan perubatan seperti mengendalikan pengurusan khayalak, pengumuman serta pendaftaran.

"Program MH Rangers memperkasakan semua kakitangan MAG bagi mengambil bahagian dalam pelbagai peranan sukarelawan untuk membantu meringankan beban dalam situasi yang berbeza.

"Program ini mengutamakan sukarelawan yang telah menerima atau mendaftar untuk suntikan vaksin Covid-19," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Izham Ismail berkata, pihaknya bangga dapat menyumbangkan keringat membantu usaha kerajaan.

"Ketika penyelaras bertanyakan sama ada kami mahu turut serta, kami tidak teragak-agak dan segera mengumpulkan kakitangan yang mahu menyertai usaha ini.

"Lebih 220 kakitangan mendaftar dalam tempoh beberapa hari.

"Walaupun kami turut berdepan kekangan sendiri, namun sangat menyentuh hati apabila kakitangan kami masih mempunyai semangat tinggi untuk menyumbang tenaga kepada usaha mulia ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 6:41 PM