Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng meninjau keadaan feri ikonik Pulau Pinang di Limbungan Bagan Dalam.  FOTO Ihsan Pembaca
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng meninjau keadaan feri ikonik Pulau Pinang di Limbungan Bagan Dalam. FOTO Ihsan Pembaca
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Keadaan Feri Pulau Pinang terdampar dengan ditakungi air di Limbungan Bagan Dalam, di sini, seperti gambar tular di media sosial kerana ia sudah uzur dan mengalami kebocoran.

Pada masa sama, feri ikonik berkenaan yang sudah lama tidak beroperasi dalam proses pajakan kepada pembida berjaya.

Terdahulu, tular gambar feri terbabit dalam keadaan uzur sehingga menimbulkan rasa sedih di kalangan warganet termasuk mencadangkan ia dibaik pulih menjadi produk pelancongan seperti restoran.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Datuk Tan Teik Cheng berkata, kenyataan beberapa pihak di laman sosial menyatakan Feri Pulau Pinang terbiar sebenarnya tidak tepat.

Menurutnya, beliau yang melakukan tinjauan bersama Penang Port Sdn Bhd (PPSB) mendapati terdapat beberapa kebocoran pada feri itu.

Katanya, tindakan awal dilakukan bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan yang relevan dijalankan sekali gus memastikan feri itu kembali kepada keadaan asal.

"Siasatan awal, keuzuran Feri Pulau Pinang ini disebabkan beberapa kebocoran mengakibatkan air masuk dan memenuhi bilik enjin sehingga keadaannya condong.

"Tindakan segera dilakukan dengan mengepam keluar air yang bertakung," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, keadaan Feri Pulau Pinang itu sudah uzur dan tidak mampu beroperasi selain sudah lama tidak berkhidmat membawa penumpang atau kenderaan.

"Feri Pulau Pinang itu ditempatkan di Limbungan Bagan Dalam sementara SPPP memuktamadkan urusan pajakan feri terbabit kepada pembida yang berjaya.

"Pajakan Feri Pulau Pinang ini adalah untuk dijadikan sebagai muzium dan akan ditempatkan di Tanjung City Marina kelak," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 3:07 PM