A Asmadi melakukan hebahan suara pematuhan SOP PKPD di Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan 2 di mukim Ulu Kinta, hari ini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
A Asmadi melakukan hebahan suara pematuhan SOP PKPD di Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan 2 di mukim Ulu Kinta, hari ini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Tiada mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) dibenar menyalurkan bantuan dalam kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) khususnya bantuan yang disalur terus ke rumah golongan sasar, tanpa kebenaran serta surat rasmi bertulis.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, sebarang tindakan NGO perlu melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah melalui permohonan bertulis.

"Tidak boleh sewenang-wenangnya NGO terus datang ke pos sekatan jalan raya (SJR) lalu minta anggota yang mengawal agar dibenarkan masuk tanpa surat dan kebenaran PKOB. PKOB maklum kepada (anggota) kita, maka baru kita benarkan.

"(Tambahan pula) bantuan bekalan barang kering dihantar ke setiap rumah penduduk kawasan yang terbabit. Kita harus ingat bahawa matlamat PKPD adalah untuk kurangkan pergerakan tetapi kalau (asyik) keluar masuk maka kita tidak akan dapat capai sasaran mengurangkan penularan Covid-19," katanya dalam sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) PKPD Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan 2 di mukim Ulu Kinta, di sini, hari ini.

A Asmadi berkata demikian sewaktu diminta mengulas tindakan segelintir NGO yang mengiklankan rayuan sumbangan bagi membantu masyarakat kurang bernasib baik yang terkesan susulan kediaman mereka terletak dalam kawasan PKPD terbabit.

Beliau berkata, bagaimanapun perbincangan sedang berlangsung bagi menentukan kebenaran beroperasi sebuah pasar raya besar dalam kawasan PKPD perkampungan terbabit yang dianggap sebagai sektor yang benar-benar diperlukan bagi mendapatkan barang keperluan harian.

Katanya, bagaimanapun tiada mana-mana premis yang menjual makanan dibenarkan beroperasi dalam kawasan PKPD.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya memberi amaran tegas terhadap sebarang perbuatan khianat terutamanya mengalihkan struktur atau memotong kawat duri yang dipasang bagi menyekat pergerakan di kawasan PKPD berkenaan.

A Asmadi berkata, pemasangan kawat duri hanya diutamakan di laluan utama kenderaan berbanding lorong tikus yang dikenal pasti, berikutan keterbatasan peralatan itu yang dibekalkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau berkata, PKPD di kawasan itu turut merangkumi penduduk kampung bersebelahan iaitu Kampung Sungai Tapah dan Kampung Jelapang Baru menyebabkan banyak laluan tikus dikenal pasti dengan kuantiti kawat duri yang dibekalkan tidak mampu menampung kesemuanya.

"Kawasan PKPD ini sangat luas, namun kita akan utamakan untuk tutup laluan utama (kenderaan) dulu. Kita faham bahawa ada banyak lagi kawasan lain yang dikenakan PKPD di mana ATM turut perlu menyumbangkan kawat dawai.

"Bagi lorong tikus, pendekatan yang diambil buat masa ini adalah menutupnya menggunakan tali pita larangan merentas di samping menyeru masyarakat agar segera menyalurkan maklumat sekiranya tahu terdapat jiran mereka yang didapati cuba curi-curi keluar," katanya.

Katanya, PKPD Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan 2 yang bermula hari ini sehingga 19 Jun membabitkan kira-kira 16,000 penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 5:51 PM