SEORANG petani Kampung Bukit Bendera Taginambur, Mairy Lahai,55. FOTO Bernama
SEORANG petani Kampung Bukit Bendera Taginambur, Mairy Lahai,55. FOTO Bernama
BERNAMA

Kota Belud: Masyarakat kampung dan pedalaman sekitar daerah ini mencadangkan, agar pusat pemberian vaksin (PPV) dibuka di kawasan mereka bagi memudahkan penduduk mendapatkan vaksin Covid-19, sekali gus dapat meningkatkan kadar pemberian vaksin di negeri ini.

Tinjauan Bernama mendapati, jarak terlalu jauh dari PPV berhampiran dan bentuk muka bumi mencabar, selain sistem jalan raya dan pengangkutan yang kurang memuaskan di kampung serta pedalaman, menyebabkan kesukaran kepada penduduk bagi mendapatkan suntikan vaksin.

Penduduk Kampung Pirasan di sini Razalie Chin, 64, berkata sekiranya PPV dibuka di kawasan kampung dan pedalaman, penduduk akan lebih mudah ke PPV bagi mendapatkan vaksin, selain melancarkan pengurusan logistik berbanding pergi ke PPV terdekat di pusat bandar, yang jaraknya kira-kira 30 kilometer.

Peniaga kedai runcit itu berkata, umum mengetahui vaksin sangat sensitif dan memerlukan suhu sejuk, maka dengan adanya PPV di kampung dan pedalaman, vaksin dapat dipindahkan, disimpan dan diberi dengan kadar yang banyak, berbanding pemberian vaksin pada majlis khas di pusat pemberian vaksin sementara.

"Dengan adanya PPV di kawasan kampung dan pedalaman, saya percaya usaha memberikan vaksin dari rumah ke rumah terutama bagi warga emas, orang kurang upaya, dan mereka yang tidak dapat keluar rumah, juga dapat dilaksana secara berkesan," katanya kepada Bernama.

Menurut laman sesawang Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19, seramai 162,814 penduduk sudah divaksinasi di Sabah atau 5.55 peratus daripada jumlah penduduk, yang juga peratus terendah berbanding negeri lain dan jauh daripada 80 peratus bagi mencapai imuniti kelompok kebangsaan.

Semakan di laman sesawang itu juga mendapati, Sabah mempunyai 29 PPV seluruh negeri yang mana PPV ini terletak di kawasan bandar atau pinggir bandar, manakala hanya satu PPV dibuka di Kota Belud iaitu di Hospital Kota Belud.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Nahaba Patrick Kandar, 56, pula berkata PPV di kawasan kampung dan pedalaman amat diperlukan, kerana penduduk di kawasan itu sukar untuk keluar ke PPV di bandar kerana kekangan pengangkutan, selain bimbang dengan jangkitan Covid-19.

"Ada juga penduduk tidak mahu keluar disebabkan banyak prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi.

"Oleh itu sangat sesuai sekiranya penduduk kekal berada di rumah atau kampung, dan pihak kesihatan datang memberikan vaksin," katanya yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19.

Penduduk di Kampung Bukid Latiah Guliat, 53, berkata, dia sudah mendaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19 melalui ketua kampung dan hanya menunggu tarikh pemberian vaksin.

"Lebih baik mereka datang ke sini untuk memudahkan orang kampung dan mengurangkan pergerakan, kerana ada kemungkinan kita akan terdedah kepada Covid-19 apabila keluar rumah dan melakukan pergerakan ke pusat-pusat pemberian vaksin," katanya yang juga seorang pastor Kristian.

Sementara itu, penduduk di Kampung Rangalau, Magreta Kassim, 32, berkata, dia baharu mendaftar untuk mengambil vaksin di aplikasi MySejahtera dan berharap pemberian vaksin dapat dilaksana dari rumah ke rumah.

"Penduduk di kawasan pedalaman mempunyai banyak kekangan seperti tiada kenderaan, di kampung ini kenderaan awam tidak boleh lagi beroperasi kerana takut ada penularan Covid-19, terpulang kepada kerajaan di mana mahu laksana pemberian vaksin, tetapi lebih baik buat di rumah atau kampung," katanya yang juga seorang petani.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 4:28 PM