PETUGAS memberi penerangan kepada penduduk mengenai vaksin Covid-19. FOTO Ihsan FB Dr Azimi Yunus.
PETUGAS memberi penerangan kepada penduduk mengenai vaksin Covid-19. FOTO Ihsan FB Dr Azimi Yunus.
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Rakyat tidak culas, tetapi kekangan tertentu termasuk jarak perjalanan jauh dikenal pasti punca penduduk di kawasan pedalaman masih rendah mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, strategi untuk tingkatkan liputan imunisasi dalam kalangan penduduk akan dilakukan berdasarkan sosiodemographi.

Katanya, Terengganu mempunyai sosiodemographi berbeza dengan negeri lain dan strategi untuk tingkatkan liputan imunisasi dalam kalangan penduduk perlu disesuaikan mengikut keadaan.

"Bayangkan, jarak perjalanan sejauh 45 kilometer terpaksa ditempuhi penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman untuk ke pusat pemberian vaksin (PPV).

"Kesungguhan penduduk di kawasan pedalaman mendapatkan suntikan vaksin terbukti apabila terpaksa melalui jalan yang di kiri dan kanan jalan dipenuhi pokok kelapa sawit serta getah sejauh 45 km untuk ke PPV," katanya melalui catatan dalam Facebooknya hari ini.

Dr Nor Azimi berkata, kesimpulannya rakyat negeri ini terutama penduduk di kawasan pedalaman bukan tak mahu divaksin, tetapi mungkin ada kekangan tertentu.

"Sebagai contoh, penduduk yang tinggal jauh di pedalaman di kampung Bukit Mundok, Setiu, terpaksa mengambil masa kira-kira 30 minit dan melalui perjalanan sejauh 45 km untuk ke PPV Awam di Sungai Tarom, bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

"Pada program jangkauan imunisasi di kampung pedalaman diadakan dengan kerjasama Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Setiu Khamis lalu, kira-kira 680 penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman berjaya disuntik vaksin," katanya.

Mengulas mengenai situasi terkini pandemik Covid-19, Dr Nor Azimi berkata, tiga kematian membabitkan wanita berusia antara 58 dan 76 tahun dilaporkan meninggal dunia semalam.

Katanya, sejak berlakunya penularan pandemik Covid-19 mulai Mac tahun lalu sehingga semalam, sebanyak 56 kematian disebabkan dijangkiti virus dilaporkan di negeri ini.

"Tiga kematian semalam adalah membabitkan tiga wanita masing-masing dari Kampung Kemat, Hulu Terengganu, Kampung Batu Hampar, Manir dan dari Kampung Serada, Kuala Terengganu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 9:16 AM