Gambar hiasan
Gambar hiasan
Nuraliawati Sabri


Melaka: Lelaki yang juga pesara kerajaan kerugian RM60,000 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam, semalam.

Warga emas berusia 60 tahun itu yang tinggal di Bukit Baru, di sini, dikatakan menerima panggilan telefon Rabu lalu, yang mendakwanya terbabit dengan penjualan vaksin Covid-19.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri Superintendan E Sundra Rajan berkata, mangsa pada awalnya menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki dikatakan dari Mahkamah Sivil Labuan mengatakan dia terbabit dengan kes jenayah.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun menafikan ada terbabit dengan kes jenayah menjual vaksin Covid-19 di Labuan.

"Dia kemudian disambung dengan seorang wanita yang mendakwa sebagai Sarjan Farah Ajis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan dan meminta mangsa untuk memasukkan wang simpanan kepada suspek untuk tujuan siasatan.

"Mangsa tanpa merasa curiga kemudian membuat pemindahan wang berjumlah RM60,000 ke akaun Maybank diberikan suspek antara 2 hingga 3 Jun," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Menurutnya, selepas membuat pemindahan wang itu mangsa kemudian menceritakan kepada rakan-rakannya sebelum diberitahu dia sudah ditipu oleh sindiket Macau Scam.

"Mangsa yang merasa ditipu membuat laporan di Balai Polis Melaka Tengah semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut, Sundra Rajan berkata, pihak polis mengingatkan orang awam supaya tidak terlalu mudah percaya dengan sebarang panggilan yang membabitkan urusan pemindahan wang dalam talian.

"Orang ramai dinasihatkan supaya memuat naik aplikasi 'Semak Mule CCID' agar mereka terlebih dahulu dapat membuat semakan ke atas nombor telefon dan akaun yang diberikan sebelum membuat sebarang transaksi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 5:16 PM