ANTARA minuman keras tidak bercukai yang dirampas di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor pada 26 dan 31 Mei lalu.
ANTARA minuman keras tidak bercukai yang dirampas di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor pada 26 dan 31 Mei lalu.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit 1 (Kuala Lumpur) menumpaskan sindiket penyeludupan minuman keras rentas sempadan dengan rampasan dua kontena dianggarkan bernilai lebih RM1.1 juta di Pelabuhan Klang, Selangor, pada 26 dan 31 Mei lalu.

Pengarah Operasi Penguatkuasaan Zon Tengah JKDM Wong Pun Sian berkata, rampasan dua kontena bersaiz 12 meter itu yang membawa dagangan disyaki minuman keras tidak berkastam dianggarkan bernilai RM1,170,595 termasuk cukai dan duti import.

Katanya, dalam kejadian pertama pada 8 malam, 26 Mei lalu, pihaknya mematahkan cubaan menyeludup sejumlah minuman keras disyaki tidak berkastam dengan penahanan sebuah kontena Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.

"Hasil pemeriksaan dilakukan di Kompleks Kastam Zon Tengah Unit I menemui sejumlah minuman keras berjumlah 26,160 liter dengan anggaran nilai sebanyak RM111,120 membabitkan jumlah cukai dan duti dianggarkan RM793,030," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wong berkata, modus operandi sindiket itu adalah mengisytiharkan dagangan itu sebagai kelengkapan rumah dari negara jiran di dalam Bill of Lading dan Borang Kastam 1.

Katanya, wakil perkapalan juga gagal mengemukakan dokumen berkaitan kelulusan pengimportan dagangan berkenaan.

"Dagangan minuman keras itu diletakkan di bahagian belakang muatan kontena dan bahagian hadapan diletakkan kotak polyfoam bagi mengaburi pihak kastam.

"Modus operandi ini dipercayai sering digunakan terhadap kontena yang membawa dagangan terlarang untuk memasuki pintu pelabuhan negara," katanya.

Susulan rampasan kontena ini, seorang wakil perkapalan dipanggil dan hadir memberi keterangan untuk membantu siasatan.

Dalam kes berasingan, pihaknya mematahkan satu lagi cubaan menyeludup sejumlah minuman keras disyaki tidak berkastam dengan merampas sebuah kontena di pelabuhan sama, jam 8.30 malam, 31 Mei lalu.

"Hasil pemeriksaan dilakukan menemui sejumlah minuman keras berjumlah 12,616 liter dengan anggaran nilai RM93,940 membabitkan jumlah cukai dan duti dianggarkan RM172,505.

Katanya, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 atas kesalahan menyimpan atau memiliki apa-apa barang tidak berkastam atau larangan import.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 10:27 AM