Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, menunjukkan antara aplikasi scam dan Ahlong ketika sidang media mengenai kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, menunjukkan antara aplikasi scam dan Ahlong ketika sidang media mengenai kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis menggesa institusi perbankan lebih cakna terhadap aktiviti pemindahan wang daripada individu ke dalam akaun syarikat dipercayai 'keldai akaun' bagi jenayah pelaburan tidak wujud.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya mendapati kes pelaburan tidak wujud membabitkan akaun syarikat yang dijadikan `keldai akaun' semakin berleluasa.

"Pihak bank perlu kenal pelanggan, tahu apa urusan dan bagaimana transaksi boleh dilakukan. Syarikat itu sendiri pun dicurigai, bagaimana pihak bank melaksanakan verifikasi terhadap syarikat terbabit sebelum akaun bank dibuka.

"Nama syarikat pun 'fancy'. Begitu mudahnya akaun dibuka sehinggakan duit-duit disalurkan dan menjadi keldai akaun.

"Justeru, saya memohon pihak bank untuk lebih cakna berhubung pindahan wang daripada individu ke dalam akaun," katanya pada sidang media di Menara KPJ di sini, tadi.

Menurut Ramli, pihaknya menerima laporan dibuat di Petaling Jaya, Selangor, daripada seorang ahli perniagaan yang ditipu skim pelaburan dalam talian sehingga kerugian RM1.73 juta pada 6 Mei lalu.

"Kes membabitkan seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun yang tertarik dengan iklan skim pelaburan 'pasaran saham' di Facebook pada Mac lalu.

"Pengadu seterusnya menekan pautan yang diberikan dan disambungkan kepada seorang lelaki yang kemudiannya memberi penerangan skim pelaburan terbabit," katanya.

Beliau berkata, pengadu dimasukkan ke kumpulan WhatsApp dan diarahkan membuka akaun pelaburan di Platform Parity Asset Management (Singapore) Pte Ltd.

"Pengadu membuat lapan pindahan wang ke beberapa akaun bank syarikat yang diarahkan dengan jumlah keseluruhan RM1.73 juta untuk urusniaga pasaran saham berasaskan emas.

"Pengadu curiga dengan kesahihan pelaburan terbabit apabila diarahkan membuat pelbagai bayaran tambahan sekiranya ingin mengeluarkan wang keuntungan yang diperolehi," katanya.

Katanya, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2024 @ 2:36 PM