Mohd Nooralumni UUM membeli makanan  kucing (gambar kecil) dan kucing yang diberi makanan di sekitar kawasan universiti berkenaan. FOTO ihsan pembaca
Mohd Nooralumni UUM membeli makanan kucing (gambar kecil) dan kucing yang diberi makanan di sekitar kawasan universiti berkenaan. FOTO ihsan pembaca
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: "Alhamdulillah, kami sudah membeli 10 bungkus makanan kucing, setiap bungkusan seberat 20 kilogram, selain hampir 20 bungkusan lagi yang berlainan berat untuk kucing terbiar di kampus (Universiti Utara Malaysia) ini.

"Ada sekitar 150 hingga 200 kucing terbiar di dalam kampus serta kolej kediaman di luar kampus, lebih menyedihkan ada antara kucing ini yang sakit dan memerlukan rawatan," kata alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) Mohd Noor Azhreen Shaari, 29.

Mohd Noor Azhreen yang juga pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ResQ Team berkata, inisiatif menyediakan makanan kucing berkenaan dibuat pihaknya bagi memastikan haiwan itu tidak terputus bekalan makanan memandangkan ketiadaan penuntut di kampus.

Dia berkata, sebelum sesi pembelajaran di UUM ditutup 20 Mei lalu, ada ramai 'pemberi' makanan untuk haiwan terbiar di kampus berkenaan, terutama membabitkan penuntut universiti itu sendiri.

Namun, katanya, situasi itu kini berubah berikutan penuntut tidak dibenarkan kembali ke kampus sehingga dimaklumkan, tambahan pula ketika ini negara dalam tempoh penguatkuasaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) bermula hari ini sehingga 14 Jun nanti.

"Lantaran itu, kami (ResQ Team) melakukan inisiatif ini. Sekarang, saya dibantu lebih kurang tujuh penuntut yang tidak pulang ke kampung dan masih menetap di kampus.

"Selain memberikan makanan kepada kucing itu, kami turut menyediakan tempat makanan yang berfungsi secara automatik di kawasan kampus bagi keperluan haiwan berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Noor Azhreen berkata, berikutan pelaksanaan SPP dan sebahagian besar penuntut tiada di kampus, pihaknya juga mengharapkan sumbangan dan bantuan bekalan makanan haiwan itu daripada orang ramai.

"Selain makanan kucing, kami turut memerlukan sumbangan lain seperti pembiayaan bil rawatan kucing.

"Belanja diperlukan untuk makanan kucing ini dalam RM2,250 dan bagi bil rawatan kucing sekitar RM1,500 sebulan," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Maybank 159013059226 (Mohd Noor Azhreen Shaari) atau boleh hubungi 016-457 9544 untuk sebarang pertanyaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 4:57 PM