ANTARA barangan yang dirampas D7 IPK Kuala Lumpur dalam serbuan di kondominium di Jalan Tun Razak di sini. FOTO Polis
ANTARA barangan yang dirampas D7 IPK Kuala Lumpur dalam serbuan di kondominium di Jalan Tun Razak di sini. FOTO Polis
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Mampu mengaut keuntungan sehingga RM300,000 sebulan dengan mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian dan penipuan pelaburan saham, itu kegiatan sindiket yang menggunakan empat kondominium di Jalan Tun Razak di sini, untuk operasi haram mereka sebelum berjaya diserbu polis, petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, serbuan 4.30 petang dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

"Dalam serbuan itu, enam wanita termasuk dua warga China dan dua lelaki warga China berusia antara 21 hingga 31 tahun ditahan.

"Polis turut merampas 17 komputer riba, lima set komputer, 55 telefon bimbit pelbagai jenama, modem, kad sim, kad mesin juruwang automatik (ATM) dan mesin pengira wang dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM300,000," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hasil siasatan dilakukan, Saiful berkata, sindiket itu dipercayai mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian tanpa lesen dan penipuan pelaburan saham serta menggunakan premis berkenaan sebagai pusat panggilan dengan bayaran sewa RM10,000 sebulan bagi setiap unit.

"Soal siasat dilakukan juga mendapati pekerja menerima upah antara RM3,000 sehingga RM3,500 sebulan dan kegiatan ini juga dipercayai meraih keuntungan bulanan sebanyak RM300,000," katanya.

Katanya, kesemua suspek ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 4:18 PM