GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Sebanyak 107 kluster Covid-19 dalam kategori pendidikan direkodkan sejak 1 Januari hingga semalam, membabitkan 4,633 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan ketara dicatatkan selepas pembukaan sesi persekolahan pada tahun 2022 berbanding sesi persekolahan pada tahun 2021.

Katanya, pada Minggu Epidemiologi (ME) 1 tahun 2022, hanya terdapat tiga kluster pendidikan direkodkan.

Namun, katanya, kenaikan kluster dilihat pada permulaan sesi sekolah pada ME ke-2 yang mana 15 kluster direkodkan dan peningkatan sebanyak 313 peratus pada ME ke-3.

"Pada ME ke-4, sehingga 25 Januari, sebanyak 26 lagi kluster pendidikan dilaporkan.

"Secara keseluruhan, daripada 107 kluster pendidikan, kategori institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyumbang bilangan tertinggi iaitu sebanyak 56 kluster (52.3 peratus) diikuti oleh kategori pendidikan lain (24.3 peratus), kategori pendidikan tinggi (20.6 peratus), dan institusi pendidikan swasta berdaftar KPM (2.8 peratus)," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, daripada 4,633 keseluruhan kes jangkitan Covid-19 membabitkan kluster pendidikan, sebanyak 4,092 kes (88.3 peratus) sudah lengkap menerima vaksin Covid-19 dan 112 kes (2.4 peratus) pula sudah menerima dos penggalak.

Katanya, majoriti kes yang dilaporkan hanya bergejala ringan (kategori 1 dan 2) iaitu 99.7 peratus (4,621 kes), manakala hanya 0.2 peratus (12 kes) adalah terdiri daripada kategori 3 dan 4.

"Kesemua 12 kes berkenaan yang dalam kategori 3 dan 4 itu kini berada dalam keadaan stabil dan dirawat di fasiliti kesihatan," katanya.

Menurutnya, berdasarkan hasil siasatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) ke atas kes dan kluster yang dilaporkan, kejadian berpunca daripada beberapa faktor seperti ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) warga institusi pendidikan, semasa di sekolah dan di luar waktu persekolahan formal terutamanya apabila berada di asrama.

"Selain itu, faktor individu bergejala lewat dikesan dan masih lagi hadir ke kelas. Murid yang dikuarantin di sekolah tidak mematuhi arahan dan prosedur kuarantin.

"Ruangan tumpuan ramai tidak dilakukan pembersihan dan disinfeksi secara berkala; dan sistem pengudaraan yang kurang memuaskan di kelas serta asrama," katanya.

Katanya, KKM sudah menggariskan beberapa garis panduan saringan Covid-19 bagi sektor pendidikan dalam Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan.

Beliau berkata, sekolah rendah dan prasekolah pelbagai agensi perlu melakukan ujian pengesanan Covid-19 menggunakan RTK-Ag ke atas 10 peratus daripada kohort murid yang hadir ke sekolah pada setiap minggu.

"Pengujian perlu dipantau oleh pihak sekolah dan PKD. Tujuan aktiviti ini diadakan adalah untuk mengesan awal kes Covid-19 dalam kalangan murid sekolah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 8:27 PM