GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Abaka, Ladang Table di Tawau, Sabah berkuat kuasa Selasa ini hingga 7 Jun depan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini terdapat 37 kes positif Covid-19 direkodkan hasil 135 ujian saringan dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, KKM mendapati berlaku peningkatan kes yang amat ketara dalam masa yang singkat dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti itu.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di lokaliti itu berkuat kuasa 25 Mei sehingga 7 Jun 2021.

"Pelaksanaan PKPD membolehkan KKM menjalankan pengesanan awal kes supaya dapat diasingkan secepat mungkin sekali gus memutuskan rantaian jangkitan di kawasan ladang berkenaan.

"Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini. Maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) di www.mkn.gov.my," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan penamatan PKPD Kampung Keramat, Semporna, Sabah mengikut yang dijadualkan iaitu esok.

"Sebelum ini, kerajaan melaksanakan PKPD di lokaliti itu yang dijadualkan tamat pada 24 Mei 2021.

"Sepanjang tempoh itu, KKM melakukan 138 ujian saringan dan 19 individu disahkan positif Covid-19.

"KKM mengesahkan trend kes menunjukkan penurunan dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif sudah dirawat," katanya.

Sementara itu, katanya, kegagalan merekod butiran diri/daftar masuk premis mencatatkan kesalahan tertinggi iaitu sebanyak 218 kes semalam.

Semalam, katanya, seramai 644 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, seramai 614 individu dikompaun manakala 30 lagi direman.

"Antara kesalahan lain direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (126), tiada penjarakan fizikal (103), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (102), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (5) dan lain-lain (90).

"Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan 70,849 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 8:06 PM