GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Siti Rohana Idris

Tumpat: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi jaminan bekalan makanan mencukupi sekiranya kerajaan melaksanakan 'total lockdown'.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri II (MAFI), Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, banyak faktor perlu dipertimbangkan sebelum melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh sebegitu.

"Memang di luar sana kita mendengar pelbagai cadangan, (termasuk) buat 'total lockdown' dan perketat SOP (prosedur operasi standard).

"Saya yakin bekalan makanan mencukupi dan tidak perlu bimbang, namun nak sebut 'total lockdown', banyak perkara perlu dilihat terutama daripada segi ekonomi negara dan kerajaan perlu buat pertimbangan cukup serius," katanya ketika sidang media di jeti Kok Majid di sini, hari ini.

Beliau berkata, walaupun banyak urusan kementerian dibuat menerusi secara maya, pihaknya sentiasa mengutamakan keperluan rakyat dan memastikan bekalan tiba di dapur dengan cukup.

CHE Abdullah memeriksa bekalan makanan untuk disumbangkan kepada 613 keluarga di lapan kampung di delta Sungai Kelantan termasuk empat kampung yang terbabit dengan PKPD Mukim Sungai Pinang ketika ditemui di Jeti Kok Majid. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
CHE Abdullah memeriksa bekalan makanan untuk disumbangkan kepada 613 keluarga di lapan kampung di delta Sungai Kelantan termasuk empat kampung yang terbabit dengan PKPD Mukim Sungai Pinang ketika ditemui di Jeti Kok Majid. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Terdahulu Che Abdullah yang juga Ahli Parlimen Tumpat hadir menyampaikan sumbangan makanan kepada 613 keluarga di lapan kampung di delta Sungai Kelantan termasuk empat kampung terbabit dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Mukim Sungai Pinang.

Sumbangan diagihkan kepada penduduk terjejas disebabkan tidak boleh keluar dan ia diadakan pada hari ini dan esok dengan cara menghantar ke jeti kampung masing-masing sebelum diangkut pihak dilantik.

Sebagai rekod, seramai 225 penduduk dari Kampung Pulau Beluru, Teluk Renjuna, Pantai Haji Nik Mat dan Pantai Suri termasuk satu lagi kampung berhampiran iaitu Pulau Seratus positif Covid-19 dan dipindahkan ke beberapa Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

Setakat ini, hampir 200 penduduk sudah dipindahkan dalam masa tiga hari bermula Rabu lalu menggunakan enam bot Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke tiga PKRC Dewan Jubli Perak, Dewan Utama Kampus Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 5:32 PM