Siti Rohana Idris


Tumpat: Pengalaman berjalan kaki sejauh hampir 600 meter dengan keadaan lencun dengan peluh disebabkan memakai sut pakaian perlindungan khas (PPE) untuk mengambil jenazah mangsa Covid-19 menjadi pengalaman yang sukar untuk dilupakan.

Tidak cukup dengan itu, bot yang digunakan untuk membawa jenazah warga emas yang meninggal dunia di rumahnya di Teluk Renjuna pagi semalam juga terlekat kerana air sungai surut menyebabkan pasukan petugas beramai-ramai menolak supaya bot kembali dapat dikemudi.

Itu pengalaman yang dialami Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Tumpat, Mohamad Zawawi Mohamed ketika menguruskan kematian seorang wanita berusia 84 tahun di sebuah kampung di pinggir delta Sungai Kelantan membabitkan Mukim Sungai Pinang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Mohamad Zawawi berkata, pengalaman berharga itu pertama kali dialami memandangkan tiga kematian di rumah yang membabitkan pesakit Covid-19 di Tumpat sebelum ini terletak di darat.

"Kali ini, kami berdepan dengan situasi PKPD yang unik di mana membabitkan kawasan yang dikelilingi sungai dan pengangkutan utama adalah menggunakan bot.

"Kami menerima panggilan daripada wakil Klinik Kesihatan Sungai Pinang pagi semalam memaklumkan ada kematian di Kampung Teluk Renjuna disebabkan Covid-19 dan bersama lima rakan setugas saya bergegas ke jeti Kok Majid untuk menaiki bot.

"Sebaik tiba di tebing sungai jeti kampung itu, kami bersama sepasukan anggota polis segera menyarung sut PPE dan berjalan sejauh 600 meter menuju ke rumah mangsa.

eramai lima anggota polis mengusung jenazah wanita warga emas yang meninggal dunia pagi semalam akibat COVID-19 di Kampung Teluk Renjuna sejauh 600 meter dari rumahnya untuk ke jeti sebelum menaiki bot. FOTO IHSAN MOHAMAD ZAWAWI
eramai lima anggota polis mengusung jenazah wanita warga emas yang meninggal dunia pagi semalam akibat COVID-19 di Kampung Teluk Renjuna sejauh 600 meter dari rumahnya untuk ke jeti sebelum menaiki bot. FOTO IHSAN MOHAMAD ZAWAWI

"Tiba sahaja di rumahnya, kami terus membuat sanitasi seluruh ruang dalam rumah dan memastikan jenazah dalam keadaan bersih sebelum dijalankan proses seterusnya di Hospital Tumpat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamad Zawawi berkata, sebaik urusan selesai, jenazah dimasukkan ke dalam beg mayat dan dibawa turun dari rumah oleh lima anggota polis untuk diusung ke jeti.

Katanya lagi, pasukan petugas sekali lagi perlu berjalan 600 meter di laluan bersimen yang menjadi jalan utama kampung dan paling utama, proses mengusung jenazah perlu disegerakan tanpa berhenti rehat walau sesaat kerana sudah menjadi syarat di bawah faktor keselamatan.

"Sebaik tiba di jeti, saya dan petugas lain menaiki bot milik polis namun berdepan dengan satu lagi kesukaran iaitu sungai cetek yang menyebabkan terpaksa ditolak sebelum dapat meneruskan perjalanan menuju ke jeti Kok Majid di tanah besar.

"Tugasan sebegini adalah rutin yang sudah dijalankan sejak awal pandemik lagi dan biarpun berdepan dengan kesukaran, saya menganggap ini adalah cabaran dalam kerja pada masa yang sama ikhlas dalam menjalankan urusan fardu kifayah.

"Suka saya menasihatkan orang ramai supaya tidak menyembunyikan gejala atas alasan enggan dikuarantin kerana risikonya agak besar terutama jika ada ahli keluarga yang terdiri daripada warga emas atau ada sejarah penyakit kronik bagi mengelakkan berlaku kematian di rumah," katanya.

PKPD di Mukim Sungai Pinang membabitkan empat kampung iaitu Kampung Teluk Renjuna, Pulau Beluru, Pantai Haji Nik Mat dan Pantai Suri yang bermula 22 Mei lalu sehingga 4 Jun ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 9:33 AM