ARIFFIN Samsudin bersama anggota memeriksa aplikasi MySejahtera pelanggan sebuah pusat beli-belah di Bangsar, di sini, dalam Ops Had 2J hari ini. Gambar Ihsan KPDNHEP
ARIFFIN Samsudin bersama anggota memeriksa aplikasi MySejahtera pelanggan sebuah pusat beli-belah di Bangsar, di sini, dalam Ops Had 2J hari ini. Gambar Ihsan KPDNHEP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Tindakan kompaun sehingga RM2,000 akan dikenakan kepada pelanggan premis perniagaan yang didapati berada di dalam premis melebihi had masa maksimum dua jam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur Ariffin Samsudin berkata, tindakan diambil mengikut Peraturan 16 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Menurutnya, pihaknya melancarkan Ops Had 2J bagi memastikan pematuhan had masa dua jam yang ditetapkan kepada pengguna berada di semua premis peruncitan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Beliau berkata, operasi hari ini dilakukan di dua pusat beli-belah di Bangsar dan mendapati pihak pengurusan sudah mengetatkan tindakan itu termasuk menyemak status MySejahtera pelanggan sebelum dibenarkan masuk ke dalam premis.

"Pemeriksaan turut menumpu kepada jumlah pelanggan di dalam premis pada satu masa, pergerakan pelanggan dalam jarak satu meter, penggunaan aplikasi MySejahtera dan buku pendaftaran serta merekod suhu.

"Selain itu, memastikan hanya pelanggan berisiko rendah dibenarkan masuk dan mewajibkan pekerja, pembekal serta pelanggan memakai pelitup muka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ariffin berkata, operasi oleh pegawai penguatkuasa memberi fokus ke atas premis perniagaan seperti kompleks beli-belah, pasar raya dan sebagainya yang menjadi kawasan tumpuan pengguna.

Sebelum ini, KPDNHEP mengumumkan tempoh masa pelanggan dalam semua premis peruncitan termasuk pusat beli-belah dihadkan maksimum dua jam, mengikut prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0 sektor perdagangan pengedaran berkuatkuasa semalam.

Semua premis peruncitan juga wajib mengehadkan jumlah pelanggan pada satu-satu masa mengikut keluasan premis perniagaan dengan penetapan seorang bagi setiap empat meter persegi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 8:19 PM