FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Samadi Ahmad


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyarankan semua premis perniagaan di Putrajaya menggunakan aplikasi MySejahtera untuk mendaftar dan mengawal kemasukan pelawat ke premis perniagaan.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, pendaftaran dan pengawalan kemasukan pelawat secara berstruktur itu memudahkan pihak berkuasa memantau dan mendapatkan maklumat individu sekiranya berlaku sebarang kes Covid-19 di sesebuah kawasan.

Beliau berkata, sebanyak 75 peratus premis perniagaan di pusat beli-belah Alamanda menggunakan aplikasi berkenaan, manakala selebihnya menggunakan aplikasi persendirian.

"Kami menyarankan pihak yang menggunakan aplikasi persendirian supaya bertukar kepada aplikasi MySejahtera bagi memudahkan kerajaan mengadakan pemantauan.

"Kami akan bekerjasama dengan Perbadanan Putrajaya (PPj) bagi menggalakkan peniaga di pusat kerajaan ini menggunakan aplikasi MySejahtera di setiap premis perniagaan.

"Malah, KPDNHEP turut menyarankan semua premis perniagaan di negara ini menggunakan aplikasi berkenaan kerana ia memudahkan pelanggan dan tidak perlu menunggu lama serta berbaris panjang," katanya.

Beliau berkata demikian pada pada sidang media selepas melakukan lawatan dan advokasi penggunaan aplikasi MySejahtera di pusat beli-belah Alamanda di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr Aminuddin Hassim dan Ketua Pengarah KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 6:12 PM