Ahmad Dasuki melancarkan empat saluran bayaran baharu PTPTN dalam sesi FB live di Facebook PTPTN. FOTO ihsan PTPTN
Ahmad Dasuki melancarkan empat saluran bayaran baharu PTPTN dalam sesi FB live di Facebook PTPTN. FOTO ihsan PTPTN
Murnaena Muhammad Nasir
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyediakan empat saluran pembayaran dalam talian bagi peminjam dan pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Empat saluran baharu terbabit adalah Shopee, kiplePay, BESTPay dan KelantanPAY yang dilancarkan hari ini di Facebook PTPTN Official hasil kerjasama strategik dengan penyedia saluran masing-masing.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, kemudahan saluran bayaran secara dalam talian ini adalah bertepatan dengan gaya hidup norma baharu yang menggalakkan masyarakat menggunakan teknologi di hujung jari.

"Dalam situasi pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini, kaedah bayaran secara 'online' adalah alternatif terbaik bagi membantu masyarakat menunaikan tanggungjawab mereka sebagai peminjam dan dapat menyimpan dalam SSPN secara konsisten tanpa perlu keluar rumah untuk ke kaunter PTPTN.

"Pendekatan bayaran secara 'online' ini juga adalah sebahagian usaha ke arah pendigitalan PTPTN secara menyeluruh bagi penyampaian perkhidmatan dalam talian berbentuk hujung ke hujung (End to End)." katanya dalam Majlis Pelancaran Saluran Baharu PTPTN secara maya, hari ini.

Dalam masa sama, PTPTN turut menganjurkan Kempen 'Click, Pay & Earn' istimewa buat semua pelanggan bermula hari ini hingga 24 Jun depan.

Sepanjang tempoh itu, pengguna terawal yang menggunakan saluran baharu yang disediakan ini berpeluang mendapat pulangan, hadiah menarik, pemberian coins, 'cashback' dan tunai.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ini, layari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 4:43 PM