Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Unit Rawatan Rapi Medan (Field) ICU yang siap dibina di Hospital Kepala Batas (HKB), di sini, akan mula menerima pesakit Covid-19 pada Selasa ini.

Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zakaria Yadi berkata, pihaknya mendapati keseluruhan persiapan sudah lengkap dan boleh beroperasi dalam masa terdekat.

Katanya, pada masa ini pihaknya perlu menjalani ujian 'dry run' terlebih dahulu, esok bagi memastikan semua isu teknikal dapat diatasi sebelum menerima pesakit.

"Apabila semuanya sudah bersedia, kita akan mula menerima pesakit untuk dirawat di sini pada Selasa ini," katanya ketika mengadakan lawatan bagi melihat persiapan ICU Medan HKB, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Dr Zulkeffeli Mat dan Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad.

Katanya, pembinaan ICU Medan HKB berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.

"Penubuhan ICU Medan ini adalah kerana kita mahu membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atas dasar keperluan yang menonjol kerana keadaan ICU HKB hampir penuh diisi.

"Diharapkan kerjasama yang terjalin dapat memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat untuk menghadapi keadaan Covid-19 semasa," katanya.

Ditanya sama ada ATM akan menubuhkan ICU Medan di negeri-negeri lain, Mohd Zakaria berkata, pihaknya akan melihat permohonan dan keperluan atau aset untuk tujuan itu.

KAKITANGAN KKM dan ATM memeriksa peralatan ketika persiapan wad ICU secara 'ICU medan' di Hospital Kepala Batas di sini. FOTO Danial Saad
KAKITANGAN KKM dan ATM memeriksa peralatan ketika persiapan wad ICU secara 'ICU medan' di Hospital Kepala Batas di sini. FOTO Danial Saad

"Kita masih lagi melihat permohonan dan keperluan atau aset-aset yang kita ada yang mana kita akan cuba bantu setakat yang mampu.

"Namun dalam usaha ini, kita juga menyatakan keperluan bantuan oleh pihak lain seperti doktor, paramedik serta alat-alat khusus," katanya.

Difahamkan, ICU Medan HKB akan menempatkan kekuatan 534 anggota ATM dan 29 staf awam.

ICU Medan di sini mampu menempatkan 24 pesakit kritikal Covid-19 dan pembinaannya berkonsepkan sistem hibrid menggunakan kombinasi Modul Kontena dan Kompleks Khemah Utilis yang akan dilengkapi peralatan perubatan yang diperlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 3:49 PM