Foto hiasan
Foto hiasan
Mahaizura Abd Malik dan Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersedia dengan beberapa langkah dalam usaha mengatasi situasi semasa di hospital susulan peningkatan kes baharu serta pertambahan pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan pertama adalah pengumpulan stok dari segi peralatan, ubat-ubatan dan sebagainya.

"Kedua adalah kemudahan sementara iaitu keperluan ICU. Melihat kepada penggunaan ICU di seluruh negara adalah 91 peratus, manakala di Lembah Klang adalah 113 peratus.

"Justeru, kita mengenal pasti ruang-ruang tertentu seperti wad pemerhatian di Jabatan Kecemasan, rawatan harian dan sebagainya akan diubahsuai menjadi ICU.

"Selain itu, kami juga menulis kepada hospital swasta untuk menambah katil ICU dengan menawarkan 104 katil dan ditambah kepada 124 katil dengan penggunaan 60 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media bersama Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya juga menggunakan Seksyen 3 Ordinan Darurat bagi mengambil-alih hospital baharu yang belum digunakan lagi.

"Contohnya, kita melihat kepada Hospital Cyberjaya, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) yang boleh kita ambil alih.

"Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM ada 243 katil dan 20 katil ICU yang boleh digunakan sebagai kesiapsiagaan menerima pesakit Covid-19 berada di ICU.

"Selain itu, kami juga ada 'command centre' bagi melihat kesepaduan menggunakan katil-katil ICU di Lembah Klang membabitkan hospital kerajaan, hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM), hospital universiti dan hospital swasta.

"Pada masa sama, kita juga menangguhkan pembedahan elektif di hospital kerajaan untuk sementara waktu dan kes-kes yang memerlukan pembedahan semi-kecemasan bukan Covid-19 akan dirujuk kepada hospital swasta," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, peningkatan katil ICU bukanlah satu penyelesaian sebaliknya tindakan kesihatan awam daripada orang ramai.

"Kita menyeru kepada semua rakyat Malaysia dengan membantu KKM dengan duduk di rumah bagi mengurangkan jangkitan.

"Yang bergerak adalah manusia, namun virus tidak bergerak. Virus menjangkiti dan akan membiak di dalam paru-paru kita sekali gus boleh menyebabkan berlaku mutasi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 7:52 PM