GAMBAR fail, sekadar hiasan. Foto ihsan Facebook Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
GAMBAR fail, sekadar hiasan. Foto ihsan Facebook Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
Mohd Roji Kawi


Kuching: Kemudahan rawatan pesakit Covid-19 di Sarawak kini kritikal apabila semua katil di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di empat hospital utama penuh.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr Chin Zin Hing berkata, ketika ini pihaknya mengendalikan 92 katil di wad ICU di empat hospital iaitu Hospital Umum Sarawak, Hospital Sibu, Hospital Bintulu dan Hospital Miri.

"Semuanya sudah penuh, setiap katil akan digunakan sekurang-kurangnya 10 hari secara purata," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Chin berkata, pihaknya turut menghadapi masalah alat bantuan pernafasan di empat hospital utama itu yang kini sudah tidak mencukupi.

"Doktor bertungkus lumus setiap hari untuk menukar alat bantuan pernafasan atau katil-katil di ICU bagi memastikan pesakit Covid-19 yang seterusnya dapat dirawat," katanya.

Justeru, beliau merayu agar rakyat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tinggal di rumah bagi memutuskan rantaian Covid-19.

"Situasi Covid-19 di seluruh negara termasuk Sarawak kini amat meruncing.

"Kita ketika ini dalam krisis dan kami merayu kepada semua rakyat bersama memainkan peranan. Tolonglah tinggal di rumah.

"Kita perlu memutuskan jangkitan Covid-19 dengan segera. Jika tidak 10 hingga 20 peratus kes positif Covid-19 perlu dimasukkan ke wad dan lima hingga 10 peratus akan memerlukan rawatan di wad ICU," katanya.

Katanya, situasi yang dihadapi ketika ini berbeza dengan tahun lalu sekali gus menyebabkan sistem penjagaan kesihatan ketika ini berada pada tahap kritikal.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 10:43 PM