Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Polis mengeluarkan sebanyak 250 kompaun ke atas individu yang didapati masih berdegil apabila melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata kompaun RM1,000 itu dikeluarkan sejak 13 Januari lalu hingga semalam membabitkan pelbagai kesalahan.

"Antara kesalahan itu ialah merentas negeri dan daerah tanpa kebenaran selain pemilik premis perniagaan gagal patuh prosedur operasi standard (SOP) dalam norma baharu.

"Selain itu, kompaun turut dikenakan kepada orang awam kerana tidak memakai pelitup muka ketika berada di tempat sesak," katanya selepas melakukan pemantauan pematuhan SOP di Pasar Awam Apollo, Jalan Raja Uda, di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, pihaknya mengadakan tinjauan semula ke Pasar Awam Apollo berkenaan selepas pasar terbabit diarah tutup pada minggu lalu.

"Melalui pemeriksaan itu mendapati penganjur dan orang awam mematuhi SOP ketika berada di pasar berkenaan berbanding sebelum ini, namun masih ada ketidakpatuhan di kawasan medan selera berikutan terdapat laluan pintas.

"Perkara ini sudah dimaklumkan kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk memperbaiki SOP berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 1:33 PM
NOORZAINY (kanan) ketika melakukan tinjauan di Pasar Nelayan Penaga di sini, bersama wakil Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP). Sebanyak 15 penjaja atas jalan raya sekitar pasar terbabit menerima notis daripada MBSP. FOTO DANIAL SAAD
NOORZAINY (kanan) ketika melakukan tinjauan di Pasar Nelayan Penaga di sini, bersama wakil Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP). Sebanyak 15 penjaja atas jalan raya sekitar pasar terbabit menerima notis daripada MBSP. FOTO DANIAL SAAD