Nur Izzati Mohamad


KILANG memproses ayam di Permatang Tinggi dekat Bukit Mertajam diarah tutup selama dua minggu kerana tidak mencapai piawaian kebersihan dikehendaki.

Bertindak melalui aduan yang diterima, seramai 46 anggota Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah mengadakan pemeriksaan terhadap kilang berkenaan pada 11 malam hingga 12.30 tengah malam tadi.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah (PKDSPT) Baharudin Osman berkata, pemeriksaan itu mendapati tahap kebersihan kilang berkenaan hanya berada pada paras 34 peratus dan ia amat mendukacitakan.

"Sebagai premis yang memproses produk makanan kepada pelanggan sepatutnya perkara ini tidak boleh berlaku kerana kebersihan di tahap begitu rendah.

"Oleh itu, notis penutupan premis selama 14 hari diberikan supaya pemilik dapat memperbaiki infrastruktur dan fasiliti yang mengalami kerosakan serta menjalankan kerja membersihkan premis ke tahap yang dikehendaki," katanya hari ini.

Menurutnya, pihaknya mengeluarkan perintah penutupan itu mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

"Selain perintah penutupan premis, kita turut mengeluarkan dua kompaun iaitu mengikut Peraturan 11(1)(a) dibaca bersama Peraturan 18(a) Peraturan Peraturan Kebersihan Makanan 2009 berhubung dengan kehendak pemilik premis dalam memastikan semua lantai premis mestilah dalam keadaan baik dan mudah dibersihkan.

"Notis kompaun kedua pula dikeluarkan mengikut Subseksyen Peraturan 9(a) Peraturan Peraturan Makanan 1985 iaitu menyedia atau mengiklankan untuk jualan makanan yang tidak mempunyai label," katanya.

Keadaan di kolang memproses ayam di Permatang Tinggi dekat Bukit Mertajam yang diperiksa malam tadi. Foto Danial Saad
Keadaan di kolang memproses ayam di Permatang Tinggi dekat Bukit Mertajam yang diperiksa malam tadi. Foto Danial Saad

Sementara itu, Datuk Bandar Seberang Perai Datuk Rozali Mohamud berkata, pihaknya yang mengetuai operasi itu bagi memantau pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), mengeluarkan empat kompaun dan satu notis amaran terhadap pemilik kilang berkenaan.

"MBSP bertanggungjawab mengadakan pemantauan PKPP bagi memastikan semua premis yang beroperasi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan ia akan diteruskan dari semasa ke semasa.

"Pemeriksaan anggota MBSP terhadap kilang ini mendapati pemiliknya melakukan beberapa kesalahan hingga memaksa pihak kita mengeluarkan empat kompaun dan satu notis amaran," katanya.

Rozali berkata, kesalahan yang dilakukan pemilik premis itu hingga dikompaun antaranya tidak mengamalkan kebersihan kawasan persekitaran, tidak menjalani suntikan imunisasi, gagal mempamerkan lesen perniagaan dan membuang sampah, sisa memproses ayam di dalam longkang awam.

"MBSP turut memberikan notis dengan meminta pemilik kilang membersihkan kawasan premis dan kawasan sekitar serta melupuskan sisa buangan menggunakan kaedah yang betul dalam tempoh tiga hari mengikut Seksyen 82 Akta Kerajaan Tempatan 1976," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 10:46 AM