Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menggunakan dana Tabung Bencana negeri berjumlah RM230,000 bagi menyediakan makanan keperluan penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Besut.

Pengarah JKM negeri, Mazura Ngah @ Abd Mamat berkata, makanan keperluan utama itu dibekalkan kepada semua Ketua Isi Rumah (KIR) di 13 kampung diumumkan PKPD selama 14 hari, berkuat kuasa semalam.

Beliau berkata, penghantaran bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak, tepung gandum dan gula akan dihantar satu kali seminggu.

"Makanan basah seperti sayur-sayuran, daging dan ayam akan dibekalkan sekali dalam tempoh tiga atau empat hari.

"Penghantaran bekalan makanan akan dihantar terus ke kediaman penduduk oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Rela," katanya ketika dihubungi, hari ini.

IKAN disumbangkan usahawan sedang diasingkan untuk diagihkan kepada di kawasan RAKR Kampung Pelagat, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR.
IKAN disumbangkan usahawan sedang diasingkan untuk diagihkan kepada di kawasan RAKR Kampung Pelagat, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD di 13 kampung di Besut, selama 14 hari bermula semalam.

Mengulas lanjut, Mazura berkata, penduduk di kawasan berkenaan disaran tidak keluar rumah tanpa sebarang urusan penting kerana bekalan makanan akan dihantar terus ke kediaman masing-masing.

Beliau berkata, penduduk diminta mengutamakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi membantu usaha kerajaan mengekang penularan pandemik Covid-19.

Dalam perkembangan lain, beberapa usahawan terkenal di daerah itu turut tampil membantu penduduk terkesan susulan pelaksanaan PKPD.

Usahawan berkenaan membekalkan ikan serta pelbagai makanan laut dan makanan segera bagi membantu meringankan bebanan penduduk.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 1:50 PM