Premis menjual makanan menggunakan nama 'Kak Siti Ayam Penyet' yang dikendalikan pasangan bukan Muslim, diarah tutup sejak semalam. FOTO IHSAN MBJB
Premis menjual makanan menggunakan nama 'Kak Siti Ayam Penyet' yang dikendalikan pasangan bukan Muslim, diarah tutup sejak semalam. FOTO IHSAN MBJB
Omar Ahmad


Johor Bahru: Peniaga bukan Muslim yang mengendalikan perniagaan dengan nama mengelirukan dikesan tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah dari Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk menjalankan aktiviti terbabit.

Datuk Bandar MBJB Datuk Adib Azhari Daud berkata, peniaga terbabit bagaimanapun didapati mempunyai sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di atas nama syarikat yang sama dengan nama perniagaan dijalankan.

Katanya, MBJB juga mengeluarkan notis amaran kepada peniaga terbabit di bawah Undang-Undang Kecil Penjaja (MBJB) 2010.

"Ini kerana peniaga terbabit menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen yang sah daripada MBJB serta perniagaannya diarahkan tutup serta merta dan mengemas barang perniagaan berkaitan.

"Selepas menerima aduan, sepasukan anggota penguatkuasaan MBJB menjalankan siasatan semalam dan mendapati bahawa sepasang suami isteri menjalankan aktiviti perniagaan pelbagai jenis makanan di sebuah rumah di Taman Johor Jaya dengan menggunakan aplikasi pemesanan makanan atas talian.

"Kami turut mengarahkan agar segala iklan perniagaan yang dipamerkan dibuka serta-merta, " katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemantauan yang dijalankan semalam mendapati perniagaan terbabit tidak beroperasi dan pengusahanya patuh kepada arahan diberikan.

Katanya, MBJB juga akan melaksanakan pemantauan lebih kerap bagi memastikan arahan yang dikeluarkan dipatuhi sepenuhnya.

"Sekiranya perniagaan tersebut didapati beroperasi, tindakan sitaan barangan akan diadakan secara serta merta.

"Kami juga memanjangkan aduan ini serta laporan siasatan yang dijalankan kepada agensi bertanggungjawab seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Agama Islam Negeri Johor, polis, Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru dan SSM bagi tindakan susulan," katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial berhubung peniaga bukan Muslim di Taman Johor Jaya yang menggunakan nama perniagaan 'Kak Siti Ayam Penyet' dan makanannya dijual melalui aplikasi penghantaran makanan dalam talian yang mendapat kecaman netizen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 7:00 PM