GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Ibrahim Isa


KERAJAAN negeri Johor mengambil tindakan terhadap 77 premis perniagaan yang dijalankan warga asing sepanjang tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Md Jais Sarday berkata, tindakan diambil melalui Ops Bersepadu dijalankan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan kerjasama Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, tindakan diambil kerana mereka berniaga tanpa lesen perniagaan sah berikutan kerajaan negeri hanya memberikan lesen kepada peniaga perdagangan, perniagaan berskala besar dan perindustrian manakala penjaja dan peniaga runcit hanya diberikan kepada peniaga tempatan.

"Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengambil tindakan terhadap 26 premis, Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (18); Majlis Perbandaran Kluang (16); Majlis Perbandaran Muar (12) dan Majlis Perbandaran Kulai (lima).

"Selain dikenakan kompaun dan pelbagai barangan perniagaan disita, peniaga diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut," katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri Johor ke-13 di Iskandar Puteri, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2017 @ 12:39 PM