GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Omar Ahmad


Johor Bahru : Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) membekukan semua permohonan lesen baru perniagaan spa, refleksologi dan urutan bermula hari ini.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, pembekuan permohonan lesen perniagaan berisiko tinggi dan sensitif itu berikutan lambakan premis berkenaan dengan sebanyak 20 permohonan baru diterima pihaknya setiap bulan.

Katanya, permohonan yang diterima Jabatan Pelesenan MBJB sehingga 31 Januari lalu juga akan diberikan status tangguh dengan semakan, sehingga permohonan dibuka semula pada masa yang akan diumumkan oleh MBJB.

"Satu garis panduan berhubung jenis aktiviti perniagaan berkenaan akan dibangunkan dan dikeluarkan oleh MBJB sebagai panduan untuk pengusaha aktiviti perniagaan berisiko tinggi dan sensitif ini.

"Justifikasi pembekuan permohonan lesen perniagaan berisiko tinggi dan sensitif ini adalah bagi membuat perancangan semula serta menjenamakan semula aktiviti perniagaan spa, rawatan urutan atau urutan tradisional dan refleksologi ini supaya setanding dengan negara-negara maju yang akan digariskan dalam satu garis panduan atau polisi yang baharu bersesuaian dengan imej MBJB," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Portal GeoJB versi 3.0 sempena ulang tahun pengisytiharan MBJB ke 30 di Menara MBJB di sini, hari ini.

Jelas Mohd Noorazam, langkah ini juga menjadi salah satu usaha kawalan serta memastikan perniagaan yang dijalankan adalah bertepatan dengan permohonan serta tiada unsur-unsur mencurigakan.

Katanya setakat ini terdapat sebanyak 151 premis berkaitan menjalankan perniagaan secara sah. Manakala 43 premis dikesan melanggar syarat termasuk beroperasi di zon tidak sesuai dan tidak mempunyai lesen.

"Kadar lesen kekal bagi premis berkenaan hanya RM800 setahun, manakala lesen sementara RM1,600. Ramai yang membuat permohonan baru kerana permintaan yang tinggi dari segi pelancongan. Tetapi dalam masa sama kita tidak mahu ada aktiviti tidak senonoh berjalan di sebalik premis ini.

"Sepatutnya zon yang dibenarkan untuk membuka premis urut, spa dan refleksologi ini adalah di pusat membeli belah dan hotel kerana mempunyai waktu operasi yang sesuai," katanya.

Jelas Mohd Noorazam, keputusan membekukan lesen baru dibuat berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan yang telah bersidang pada 17 Januari 2024.

Bagaimanapun katanya, cadangan pembekuan permohonan ini tidak membabitkan permohonan tambah lot, tukar nama pemilik syarikat dan pembaharuan lesen tahunan.

"Bagi penukaran nama syarikat bagi syarikat yang sama juga boleh dilakukan tetapi, sekiranya bertukar ke syarikat baharu yang melibatkan perubahan di sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), permohonan adalah tidak diterima dan dikira sebagai permohonan baharu.

"Selain permohonan lesen spa, pusat urutan dan refleksologi, MBJB juga banyak menerima permohonan lesen untuk membuka pusat cuci kereta. Kita memandang serius kerana kebanyakan pusat cuci kereta yang dibuka ini dijalankan oleh warga asing seperti Rohingya dan Bangladesh.

"Ada pemilik lesen yang menyewakan lesen dan premis mereka kepada warga asing. Terdapat premis cuci kereta ini tidak bersistem dengan membuang air cucian terus ke longkang dan jalan raya, kita memandang serius isu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 12:51 PM