Foto hiasan
Foto hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Jumaat ini sehingga 3 Jun.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan itu berikutan berlaku penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan penghuni di kampus universiti berkenaan.

"Sebanyak 49 kes positif Covid-19 direkodkan hasil daripada 346 ujian saringan yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membabitkan penghuni Kolej Datin Seri Endon, Kolej Tun Hussein Onn, Kolej Tun Dr Ismail, Kolej 9 dan 10 serta Pusat Kesihatan.

"KKM juga melaporkan kadar positiviti yang tinggi iaitu 14.2 peratus dan taburan kes positif serta kontak rapat menular di beberapa kolej lain," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Beliau berkata, PKPD akan memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes Covid-19 serta menyekat penularan jangkitan ke kawasan luar.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di Kampung Permatang Tulang di Jasin, Melaka; Kampung Lubok Katak di Tapah, Perak dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Madai di Kunak, Sabah ditamatkan mulai tengah malam ini.

Menurutnya, penamatan itu susulan KKM mengesahkan baki kes aktif di semua lokaliti berkenaan menunjukkan trend penurunan dengan kes positif sudah diberi rawatan dan kontak rapat diasingkan.

Katanya, Kampung Permatang Tulang merekodkan sebanyak lapan kes positif Covid-19, manakala Kampung Lubok Katak (34 kes) dan SMK Madai (45 kes).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 5:05 PM