GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Amir Mamat


Melaka: Faktor sukar mengawal jangkitan Covid-19 dalam komuniti menjadi punca Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan di Kampung Permatang Tulang, Sebatu, Jasin, di sini bermula esok.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, ia susulan berlaku peningkatan kes secara mendadak di kawasan berkenaan sehingga menjangkiti beberapa generasi yang membabitkan komuniti, institusi keagamaan dan pendidikan serta tempat kerja.

Katanya, sehingga kini, seramai 458 kontak rapat dikesan dalam kluster berkenaan membabitkan 83 kes positif.

"Disebabkan faktor itu, kita memohon PKPD dilaksanakan di Kampung Permatang Tulang kerana kes di kawasan itu hampir tidak boleh dikawal.

"Jika kita tidak tutup kawasan berkenaan sudah pasti kes akan lebih meningkat terutama pada sambutan Aidilfitri nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada pegawai masjid, anggota keselamatan, kesihatan dan media di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Molek, di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan pelaksanaan PKPD selama 14 hari bermula esok di Kampung Permatang Tulang Mukim Sebatu, sebagai usaha mengawal penularan jangkitan Covid-19.

Keputusan itu diambil selepas melakukan penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, Rahmad berkata, pelaksanaan PKPD di Kampung Permatang Tulang adalah yang pertama dikenakan dalam kluster membabitkan komuniti di negeri ini.

Katanya, masyarakat di kawasan berkenaan tidak boleh keluar, apatah lagi untuk menyambut Aidilfitri, manakala orang luar juga tidak dibenarkan masuk sehingga tempoh PKPD tamat.

"Bantuan makanan mentah dan masak serta barangan keperluan asas penduduk akan diuruskan oleh pemimpin setempat sepanjang tempoh PKPD selama 14 hari itu.

"Kita berharap usaha yang dilakukan dapat mengekang penularan lebih teruk di dalam negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 2:18 PM