Foto hiasan
Foto hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Tiga lagi kawasan termasuk sebuah sekolah dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Jumaat ini sehingga 20 Mei.

Kawasan terbabit adalah Kampung Lubok Katak di Tapah, Perak; Kampung Permatang Tulang Mukim Sebatu di Jasin, Melaka dan Sekolah Menengah Ugama (SMU) Pantai Manis di Papar, Sabah.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan itu susulan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan peningkatan kes baharu Covid-19 di lokaliti berkenaan.

"Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar dan seterusnya mengekang penularan jangkitan Covid-19 ke komuniti luar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di Rumah Panjang Giman, lima Rumah Panjang Jalan Bukut Balingian serta Kampung Rayang di Sarawak yang dijadualkan tamat esok dilanjutkan sehingga 20 Mei ini.

Menurutnya, KKM memaklumkan masih terdapat penularan berterusan dalam kalangan penghuni selain terdapat kes baharu direkodkan di semua lokaliiti berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, PKPD di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Johor Bahru, Maahad Tahfiz al-Quran Al-Asriah, Banggol Chicha di Pasir Mas dan Sekolah Menengah Sains Machang, Kelantan serta Kampung Sileng Dayak ditamatkan.

Menurutnya, penamatan PKPD berkenaan bermula esok.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan kerajaan hari ini bersetuju menambah sekatan kepada pengembara warga Bangladesh, Pakistan, Nepal dan Sri Lanka ke negara ini membabitkan semua kategori pemegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang, Pelawat Perniagaan Antarabangsa serta Lawatan Sosial.

"Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada pemegang pasport diplomatik dan rasmi seperti yang diperuntukan dalam Konvesyen Vienna Berkenaan Hubungan Diplomatik pada 1961.

"Kategori ini dipertimbangkan untuk memasuki Malaysia dengan menggunakan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 7:22 PM