ANTARA kereta yang dirampas dalam serbuan terhadap tangkapan dua suspek kes curi kenderaan di sekitar Sentul, Kuala Lumpur pada 10 Mei lalu.
ANTARA kereta yang dirampas dalam serbuan terhadap tangkapan dua suspek kes curi kenderaan di sekitar Sentul, Kuala Lumpur pada 10 Mei lalu.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Tinggalkan kereta curi tepi jalan tunggu untuk dileraikan. Itu taktik digunakan dua lelaki yang dipercayai terbabit dengan tujuh kes curi kereta yang dilaporkan di sekitar kawasan Batu Caves sejak 2016.

Semua suspek berusia 21 dan 22 tahun itu ditahan di sekitar Sentul, 10 Mei lalu susulan Op Lejang yang dijalankan di sekitar daerah itu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, tangkapan ke atas suspek turut menemukan tiga kereta iaitu Mazda 323, Proton Iswara serta Proton Wira yang dilaporkan hilang di kawasan Kepong.

""Hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket itu adalah mencuri kereta danmeninggalkannya di tepi jalan sebelum dileraikan bagi mengambil komponen untuk dijadikan alat ganti," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Eng Lai berkata, suspek dipercayai menjual komponen kereta terbabit di kedai barangan lusuh berasingan terutama di sekitar kawasan Batu Caves, Selangor.

"Semakan mendapati kedua-dua suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah. Mereka direman bermula 10 Mei lalu sehingga hari ini dan akan disambung reman bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya percaya menyelesaikan tujuh kes kecurian kenderaan yang dilaporkan di Kuala Lumpur dan Selangor dengan penahanan dua suspek terbabit.

"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan.

"Justeru itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482206 atau Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sentul Kuala Lumpur di talian 03-40482222 untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 12:50 PM