ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan dokumen perjalanan setiap kenderaan di Plaza Tol Gombak menghala Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias.
ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan dokumen perjalanan setiap kenderaan di Plaza Tol Gombak menghala Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebanyak 22 kompaun dikeluarkan pihak polis membabitkan kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran di sekatan jalan raya (SJR) Plaza Tol Gombak, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan teliti di SJR berkenaan bagi memastikan tiada pihak yang terlepas daripada melakukan kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran.

"Saya sendiri turun untuk memantau keadaan di SJR ini (Plaza Tol Gombak) bermula jam 5 petang semalam hingga 1 pagi hari ini bagi memastikan pemeriksaan teliti dilakukan terhadap setiap kenderaan yang melalui laluan berkenaan.

"Pemeriksaan dilakukan mendapati kebanyakan individu yang diperiksa mempunyai surat kebenaran rentas negeri dengan majoritinya membabitkan urusan balik dari universiti serta pusat pendidikan lain.

"Hasil pemeriksaan teliti semalam, kami mengeluarkan 22 kompaun terhadap individu yang tidak mempunyai surat kebenaran rentas negeri yang dikenakan kompaun sebanyak RM5,000 setiap seorang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas mengenai kesesakan lalu lintas yang teruk di laluan berkenaan berikutan pemeriksaan teliti dilakukan pihaknya. Arifai berkata, keadaan itu tidak begitu serius jika dibandingkan pada waktu perayaan pada tahun sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kami mendapati kesesakan di laluan ini hanya sepanjang tiga kilometer dan ia tidaklah serius jika dibandingkan pada hari perayaan seperti tahun sebelum ini.

"Kebiasaannya pada tahun sebelum ini (sebelum PKP), kesesakan lalu lintas di laluan berkenaan lebih teruk iaitu sehingga 20 hingga 30 kilometer meskipun tiada SJR dilakukan di Plaza Tol Gombak," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menafikan status dimuat naik individu yang mendakwa Lebuhraya Karak menghala ke Kuala Lumpur sesak teruk, semalam.

Menerusi hantaran itu, individu berkenaan seolah-olah mendakwa kenderaan yang melalui laluan berkenaan pulang semula ke Lembah Klang selepas beraya di Pantai Timur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 10:21 AM