SEKATAN jalan raya di Plaza Tol Jalan Duta. FOTO Eizairi Shamsudin
SEKATAN jalan raya di Plaza Tol Jalan Duta. FOTO Eizairi Shamsudin
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


DUA pemandu dikompaun dan 23 kenderaan diarah berpatah balik selepas cuba merentas negeri di tujuh sekatan jalan raya (SJR) dilakukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) hari ini.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) JSPT Bukit Aman, Superintendan Bakri Zainal Abidin berkata, dalam tempoh 24 jam pihaknya memeriksa sebanyak 34,594 kenderaan di kawasan SJR.

"Tiada kesesakan luar biasa dilaporkan di semua sektor dan plaza utama untuk ke ibu negara pada hari ini.

"Berlaku sedikit kesesakan di SJR kerana pemeriksaan teliti dilakukan anggota polis bagi mengelakkan cubaan rentas negeri oleh pengguna jalan raya," katanya ketika ditemui.

Bakri berkata, aliran trafik dikesan meningkat di Lembah Klang sejak pagi tadi dan mula berkurangan secara berperingkat.

"Semua individu yang diperiksa juga diingatkan supaya tidak pergi ke rumah ahli keluarga atau sahabat untuk beraya kerana kebenaran hanya dibenarkan pada hari raya pertama.

"Saya menasihatkan masyarakat mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di lokasi SJR Plaza Tol Jalan Duta mendapati aliran trafik menuju ke utara lancar, namun lalu-lintas di lokasi sama menghala ke pusat bandar sedikit sesak berikutan pertambahan kenderaan serta pemeriksaan teliti dilakukan polis.

Aliran trafik di Plaza Tol Sungai Besi menghala ke selatan pula didapati dalam keadaan terkawal.

Sementara itu, keadaan lalu-lintas di Plaza Tol Gombak pula lancar dengan jumlah kenderaan yang amat sedikit dari arah pusat bandar ke timur menjadikan kawasan berkenaan lengang.

Aliran trafik di lokasi itu menghala ke pusat bandar juga lancar walaupun ada pemeriksaan dilakukan polis di lokasi berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 2:20 PM