Polis mengesahkan berlaku kesesakan lalu lintas di Plaza Tol Gombak dari arah Bentong ke Gombak sejauh 1.8 kilometer dari sekatan jalan raya (SJR) seperti yang tular di media sosial kerana mempunyai kebenaran surat MITI, dan temu janji vaksinasi.
Polis mengesahkan berlaku kesesakan lalu lintas di Plaza Tol Gombak dari arah Bentong ke Gombak sejauh 1.8 kilometer dari sekatan jalan raya (SJR) seperti yang tular di media sosial kerana mempunyai kebenaran surat MITI, dan temu janji vaksinasi.
Muhaamad Hafis Nawawi


Gombak: Polis mengesahkan berlaku kesesakan lalu lintas di Plaza Tol Gombak dari arah Bentong ke Gombak sejauh 1.8 kilometer dari sekatan jalan raya (SJR) seperti yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya mengesan dua hantaran gambar yang tular di laman sosial memaparkan kesesakan lalu lintas di Plaza Tol Gombak yang dikatakan berlaku pada jam 8.42 malam, Khamis lalu.

Menurutnya, kemuncak kesesakan antara jam 8 malam hingga 9.30 malam membabitkan jarak sejauh 1.8 kilometer dari SJR berpunca daripada pertambahan pengguna jalan raya yang menggunakan surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) yang sebelum ini tidak dibenarkan mulai 18 Julai hingga Rabu lalu dan temujanji untuk vaksinasi di sekitar Lembah Klang.

"Selain daripada itu juga disebabkan banyaknya kenderaan 'essential' (kenderaan perdagangan) yang membawa barangan untuk merentas negeri.

"Dalam masa yang sama, pihak polis membuat pemeriksaan teliti ke atas kenderaan yang melalui SJR bagi memastikan tiada mana-mana pihak mengambil peluang dan kesempatan untuk merentas negeri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainal berkata, sepanjang pemeriksaan dijalankan, kebanyakan pengguna jalan raya mempunyai surat kebenaran dan hanya dua kompaun dikeluarkan pada waktu terbabit atas kesalahan tidak mempunyai sebarang surat kebenaran merentas negeri.

"Bagi memastikan kelancaran pergerakan, pihak polis membuka tiga lorong untuk pemeriksaan di SJR.

"Pihak polis juga menasihatkan orang ramai dan pengguna jalan raya supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan dan bersama-sama dalam membendung wabak Covid-19 yang sedang melanda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 7:00 PM