Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed memeriksa surat kebenaran rentas negeri pada tinjauan di Tol Gombak arah Bentong ke Kuala Lumpur. FOTO ASWADI ALIAS
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed memeriksa surat kebenaran rentas negeri pada tinjauan di Tol Gombak arah Bentong ke Kuala Lumpur. FOTO ASWADI ALIAS
Faris Fuad


Gombak: Aliran trafik di lebuh raya dekat Plaza Tol Gombak kedua-dua arah bergerak lancar dan terkawal setakat ini, sekali gus menafikan dakwaan orang ramai mengambil kesempatan pulang ke kampung menjelang sambutan Aidiladha Selasa ini.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, hasil pemantauan, pihaknya mendapati berlaku sedikit kesesakan pada hujung minggu dekat plaza tol itu dari Bentong menghala ibu negara.

Katanya, kesesakan itu adalah perkara biasa susulan pemeriksaan secara ketat dan teliti terhadap pengguna jalan raya melalui sekatan jalan raya (SJR).

"Kesesakan itu kira-kira 700 hingga 800 meter, namun ia perkara biasa kerana ada pemeriksaan di SJR. Mungkin ada penambahan 10 hingga 20 peratus kenderaan pada hari minggu berbanding hari biasa.

"SJR dari Gombak menghala ke Bentong tidak dibuat kerana terdapat satu sekatan di sempadan negeri dekat Bentong. Dalam hal ini, kita tidak akan berkompromi dengan mereka yang masih ingkar arahan kerajaan.

"Macam pagi tadi, kita keluarkan satu kompaun bernilai RM1,500 terhadap pengguna kenderaan kerana membawa muatan melebihi kapasiti dibenarkan," katanya ketika ditemui pemberita dekat Plaza Tol Gombak, di sini, hari ini.

Zainal Mohamed menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan maklumat palsu berkaitan keadaan trafik kononnya sesak terutama di Plaza Tol Gombak menjelang sambutan Aidiladha.

"Hentikan perbuatan menularkan perkara tidak betul. Majoriti yang lalu kawasan ini mempunyai surat termasuk urusan ambil suntikan vaksin dan kecemasan seperti kematian, maka tidak timbul isu pulang ke kampung.

"Kita tidak mahu wujud situasi panik dalam kalangan masyarakat yang sedang berhadapan penularan Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 3:01 PM