Kebun penduduk di kampung Gol, Tembeing Tengah dirosakkan oleh gajah liar kemarin.  FOTO ROSELAN AB MALEK
Kebun penduduk di kampung Gol, Tembeing Tengah dirosakkan oleh gajah liar kemarin. FOTO ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek


Jerantut: Penduduk Kampung Gol, di mukim Tembeling Tengah dekat sini bimbang dengan kehadiran dua gajah liar yang sering menceroboh tanaman dan mendekati kediaman penduduk sejak awal Mei lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kampung Gol, Abu Jamil Awang Mahmud berkata gajah liar itu kerap berkeliaran pada waktu malam dan menimbulkan ketakutan kepada penduduk kampung.

Menurutnya, jantina salah satu gajah itu adalah jantan kerana dapat dilihat pada tanda oleh Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) padanya.

"Manakala, seekor lagi tidak diketahui status jantina kerana kami penduduk di sini hanya berpandukan kesan tapak kaki haiwan itu berkeliaran di kawasan tanaman pada waktu malam.

"Dalam kejadian terbaru pada 11 malam, dua hari sebelum perayaan Aidilfitri, haiwan ini menceroboh kawasan kebun getah seluas 1.2 hektar milik seorang penduduk dan merosakkan 10 pokok.

"Ancaman haiwan liar ini bermula pertengahan Ramadan lalu apabila waktu siang bersembunyi di hutan berdekatan dan masuk ke kawasan kampung pada waktu malam merosakkan tanaman kelapa, pisang dan sayur-sayuran yang diusahakan penduduk di sini," katanya.

Abu Jamil berkata, keadaan itu membimbangkan penduduk ketika keluar mencari buluh lemang, daun palas bagi membuat persiapan Aidilfitri sebelum ini tetapi belum ada lagi kejadian yang mengancam keselamatan mereka.

"Kita sudah memaklumkan kepada Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) supaya dapat menangkap gajah liar itu sebelum berlaku kejadian tidak diingini terhadap penduduk di sini.

"Kami berterima kasih kepada Perhilitan kerana menugaskan 10 orang renjer untuk menangkap haiwan ini dua hari sebelum Aidilfitri dan turut mengadakan kerja pemantauan," katanya.

Sementara itu, seorang pekebun, Jama Ahmad berkata, hampir 10 pokok getah muda yang belum ditoreh mengalami kerosakan akibat pencerobohan gajah liar itu.

"Saya menjangka lebih banyak tanaman getah ini akan rosak termasuk pisang, kelapa sawit dan sayur-sayuran komersial penduduk di sini sekiranya haiwan liar ini tidak ditangkap.

"Tahun lalu gajah liar berkenaan beberapa kali muncul di kampung dan memusnahkan kebun sawit dan pisang penduduk. Bagaimanapun gangguan berhenti seketika selepas Perhilitan bertindak menghalau gajah itu ke hutan berhampiran," katanya.

Sementara itu, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, kerajaan negeri sudah menerima laporan mengenai ancaman gajah liar itu sejak seminggu sebelum Aidilfitri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Mei 2021 @ 4:07 PM