PENDUDUK  menunjukkan pokok pisang yang mengeluarkan hasil musnah dibaham gajah liar sejak seminggu lalu.
PENDUDUK menunjukkan pokok pisang yang mengeluarkan hasil musnah dibaham gajah liar sejak seminggu lalu.
Safuri Kamarudin

Baling: Penduduk di Kampung Batu Lapan, Mukim Siong di sini bimbang dengan kehadiran semula sekumpulan gajah sejak seminggu lalu yang memusnahkan tanaman mereka.

Rata-rata penduduk menggunakan pelbagai cara untuk mengelakkan haiwan berkenaan menghampiri kawasan rumah mereka dan tanaman, namun usaha yang mereka lakukan tidak berhasil.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Md Sakri Md Piah berkata, haiwan berkenaan dikesan bergerak semakin hampir ke kawasan rumah dalam jarak 100 meter sahaja.

Menurutnya, penduduk di kampung itu yang kebanyakannya bekerja sebagai penoreh getah kini bimbang keluar menoreh kerana takut terserempak dengan haiwan itu.

“Dua hari lalu tiga ekor gajah membawa seekor anak masuk menghampiri rumah dan merosak tanaman jam 3 pagi.

“Kehadiran gajah itu menyebabkan penduduk menjadi trauma pada waktu malam kerana gajah itu masuk ketika penduduk nyenyak tidur dan terjaga apabila bunyi tempikan yang kuat,” katanya.

Md Sakri berkata, banyak tanaman penduduk musnah seperti pisang, kelapa, anak getah, cempedak, nenas,kelapa sawit dan sayur-sayuran.

Beliau berkata, penduduk bergilir berjaga pada waktu malam bagi mengelakkan gajah masuk berhampiran dengan rumah.

“Penduduk menggunakan mercun bola untuk menghalau gajah selain menyala unggun api.

“Bagaimanapun, haiwan itu masuk ke kebun penduduk menggunakan laluan lain dan sukar dikesan penduduk,” katanya.

Md Sakri juga meminta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menghalau gajah itu.

“Saya berharap jabatan berkenaan menunggu dan menembak ke udara bagi menghalau haiwan itu beredar ke dalam hutan kerana gajah hanya berehat waktu siang tidak jauh dengan kebun penduduk.

“Sebab itu penduduk tidak berani keluar menoreh sekali gus menjejaskan pendapatan mereka,” katanya.

Penduduk, Mohd Razali Isa, 48, berkata tanaman pisang yang baru mengeluarkan hasil musnah.

Beliau berkata, banyak pokok pisang yang sudah berbuah musnah sekaligus pendapatan sampingan terjejas.

“Bukan hanya tidak boleh menoreh malah tanaman seperti pisang yang sudah boleh dituai turut musnah.

“Lebih 100 pokok pisang di kebun saya musnah dan rasa kecewa sumber pendapatan untuk menyara keluarga turut terjejas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2018 @ 10:34 AM