Penduduk Kampung Bukit Hijau Kupang menunjukkan tanaman dimusnah gajah liar awal pagi hari ini. FOTO Safuri Kamarudin
Penduduk Kampung Bukit Hijau Kupang menunjukkan tanaman dimusnah gajah liar awal pagi hari ini. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin


LEBIH 600 penduduk Kampung Bukit Hijau, Kupang, Baling, bimbang dengan kehadiran seekor gajah jantan yang menceroboh halaman rumah penduduk dan merosak pelbagai tanaman.

Penduduk mendakwa mereka tidak berani ke kebun kerana bimbang terserempak dengan gajah liar yang berkeliaran sehingga ke kawasan rumah.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Hijau Idris Yaacob berkata, gajah itu merosak pelbagai tanaman seperti pisang, anak getah, kelapa dan pinang.

Menurutnya, haiwan itu berani menghampiri rumah penduduk dan merosak atap rumah pada awal pagi.

“Gajah itu keluar lewat tengah malam sehingga awal pagi.

“Banyak tanaman penduduk yang rosak terutama pisang dan kelapa yang baru ditanam," katanya.

Idris berkata, penduduk tidak berani ke kebun sekali gus punca pendapatan harian terbantut.

“Rata-rata penduduk bergantung hidup dengan mencari rezeki sebagai petani dan punca pendapatan terputus kerana mereka takut ke kebun," katanya.

Katanya, dia juga sudah memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) supaya dapat menghalau gajah liar berkenaan.

“Saya juga sudah memaklumkan kepada Pegawai Daerah, Penghulu dan Pejabat Ahli Adun Kupang," katanya.

Idris berkata, kali terakhir gajah itu masuk dan memusnah tanaman penduduk pada November tahun lalu.

Penduduk, Jamaliah Ismail ,64, berkata, dia terkejut apabila kira-kira 4 pagi hari ini seperti bunyi atap rumah ditimpa kayu.

“Saya bertempik ingatkan kucing yang berlari atas bumbung dan bangun melihat kerana bunyi seperti terkopak.

“Apabila membuka tingkap saya terkejut seekor gajah jantan berada di halaman rumah dan berlari mengejut anak saya Saharani Ghazali, 43, untuk menyelamat diri," katanya.

Katanya, selepas gajah itu beredar ke belakang rumah, mereka terus keluar dan berlari ke kediaman jiran kira-kira 100 meter.

“Pokok kelapa, pinang dan pisang semua dimusnah gajah liar.

“Ini kali kedua gajah masuk sehingga halaman rumah dan bimbang haiwan itu akan datang lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 11:54 AM