Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Meskipun menyambut Aidilfitri dalam serba sederhana dengan diuji positif Covid-19, namun keceriaan tetap terpancar di wajah mereka yang berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Walaupun tidak beraya seperti orang lain dengan memakai baju raya, namun mereka tetap bersemangat dan bangun seawal jam 6.30 pagi untuk menyambut Aidilfitiri.

Tinjauan di PKRC Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) di Pengkalan Chepa yang menempatkan 196 pesakit Covid-19, seawal jam 8 pagi mereka dihidangkan dengan juadah raya iaitu nasi dagang.

Untuk tengah hari pula, pesakit dijamu dengan nasi ayam masak merah dan gulai daging. Mereka menikmati hidangan berkenaan sambil didendangkan lagu raya untuk menceriakan lagi suasana.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Azman Yacob, ketika membuat lawatan di PKRC berkenaan berkata, juadah untuk hari ini adalah bertemakan juadah Aidilfitiri.

SERAMAI 196 pesakit Covid-19 di PKRC di  Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan di Pengkalan Chepa, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SERAMAI 196 pesakit Covid-19 di PKRC di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan di Pengkalan Chepa, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Walaupun beraya dalam keadaan tidak sempurna, namun kita mahu menceriakan suasana dengan menyediakan juadah raya dan turut memasang lagu raya.

"Alhamdulillah masih terdapat keceriaan di wajah mereka walaupun menyambut Aidilfitiri di PKRC.

"Untuk hari ini, semua makanan yang dikhaskan kepada petugas, kita akan agih kepada pesakit sebagai makanan tambahan. Kakitangan yang bertugas pula akan membawa 'pot luck' bagi membangkitkan suasana hari raya," katanya.

Dr Azman berkata, 30 hingga 40 kakitangan bertugas di setiap PKRC.

Katanya, sehingga kini kakitangan yang sedia ada masih mencukupi dan pihaknya akan akan membuat penggiliran pertugas di setiap PKRC.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Mei 2021 @ 3:57 PM