GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC) memfailkan 22 tuntutan sivil untuk pemulangan aset bernilai lebih RM96.6 bilion termasuk kira-kira RM300 juta terhadap pelbagai pihak.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataannya hari ini mengesahkan bahawa pada 7 Mei lalu, wakil guaman kedua-dua entiti itu sudah memfailkan tuntutan itu.

Menurutnya, enam daripada writ saman difailkan 1MDB, sementara 16 lagi oleh SRC untuk pemulangan aset dengan jumlah keseluruhan melebihi RM96.6 bilion (AS$23 bilion).

"Writ yang difailkan oleh 1MDB ini adalah terhadap sembilan entiti (termasuk dua institusi kewangan asing) dan 25 individu atas pelbagai kesalahan termasuk pelanggaran kewajipan kontrak, statutori, common law dan fidusiari membabitkan pecah amanah, frod, konspirasi frod, salah nyata frod, pecah kewajipan dan amanah secara frod, penyembunyian secara frod, penyelewengan secara frod, bantuan tidak jujur dalam penyelewengan dana, kecuaian, penerimaan dengan pengetahuan dan pengkayaan tidak wajar.

"Writ yang difailkan SRC adalah terhadap 15 individu dan lapan entiti atas pelbagai kesalahan termasuk penyalahgunaan kuasa, pelanggaran kewajipan fidusiari di jawatan awam, pecah amanah, konspirasi, bantuan tidak jujur, pelanggaran kewajipan secara frod, penerimaan dengan pengetahuan, salah laku dan penukaran salah.

"1MDB dan SRC menyatakan bahawa entiti dan atau individu ini mendapat pengkayaan tidak wajar melalui penerimaan wang secara salah daripada 1MDB atau SRC," katanya.

Sementara itu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, berikutan kejayaan penyelesaian yang signifikan terhadap Goldman Sachs, AmBank Group dan Deloitte PLT, kerajaan kini fokus membawa pesalah laku ke muka pengadilan.

"Usaha kerajaan kini difokuskan untuk membawa ke muka pengadilan pesalah laku lain yang menyebabkan kerugian kepada 1MDB dan SRC ketika pelaksanaan tugas mereka, sebagai pihak yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam pelbagai operasi dan urus niaga kedua-dua entiti itu.

"Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kerajaan akan meneruskan usaha sehingga semua pihak yang terbabit dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas kesalahan kepada negara melalui pembabitan mereka dalam 1MDB atau SRC," katanya.

MOF dalam kenyataannya berkata Malaysia sebelum ini menerima RM10.5 bilion dari Goldman Sachs pada Ogos 2020 dengan jaminan pemulangan aset selanjutnya sebanyak RM5.88 bilion.

"Tidak lama lagi, kerajaan juga akan menerima RM2.83 bilion dari Ambank Group dan RM336 juta dari Deloitte PLT.

"Semua hasil dari usaha pemulangan aset 1MDB termasuk penyelesaian akan datang dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Pemulangan Aset di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara Malaysia.

"Penyelesaian ini tidak menjejas atau mengkompromi tuntutan Malaysia terhadap pesalah laku lain yang menyebabkan kerugian kepada 1MDB dan SRC, dan mereka akan tetap dihadapkan ke muka pengadilan melalui sistem perundangan jenayah dan sivil," katanya.

MOF turut mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional atas usaha bersama mereka untuk membawa pesalahlaku ini ke muka pengadilan dan mendapatkan kembali hak rakyat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 3:52 PM