GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Liza Chan Sow Keng menarik diri daripada mendengar kes saman yang dikemukakan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) terhadap firma guaman Tetuan Wong & Partners serta kes saman SRC International Sdn Bhd terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dan enam lagi.

Apabila dihubungi, peguam dari Tetuan Rosli Dahlan Saravana Partnership, yang bertindak bagi pihak 1MDB dan SRC berkata, semasa prosiding mahkamah melalui sidang video hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman Chan memaklumkan pihaknya memutuskan untuk menarik diri daripada mendengar kes itu kerana bekas Perdana Menteri adalah rakan beliau.

"Walaupun sudah bertahun-tahun mereka tidak berhubung, beliau berpendapat dia harus menarik diri daripada mendengar kes itu untuk mengelakkan sebarang syak wasangka atau dakwaan berat sebelah atau berpihak. "Jadi perkara itu dikembalikan semula untuk pengurusan kes di hadapan mahkamah berbeza dan tarikh baharu akan ditetapkan tidak lama lagi," kata peguam itu.

Pada 7 Mei, SRC selaku plaintif, di bawah pengurusan baharunya, memfailkan saman terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan enam lagi atas dakwaan melakukan pecah amanah serta melanggar kewajipan statutori berhubung pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) berjumlah RM4 bilion kepada SRC.

Dalam writ samannya, SRC, yang juga anak syarikat 1MDB, menamakan Najib serta enam bekas pengarah SRC iaitu Datuk Suboh Md Yassin, Nik Faisal Ariff Kamil, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Che Abdullah@Rashidi Che Omar sebagai defendan.

Najib adalah Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.

SRC, yang kini dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD), mendakwa kesemua defendan berkomplot dan melakukan pecah amanah selain mendakwa bekas perdana menteri itu salah guna kuasa serta mendapat manfaat peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana berkenaan.

Oleh itu, plaintif menuntut deklarasi supaya kesemua defendan bertanggungjawab membayar kerugian dana pelaburan akibat penggunaan jumlah pinjaman tersebut selain ganti rugi am, teladan, tambahan dan faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

SRC dalam writ samannya menyebut pada Januari 2019, syarikat itu telah diletakkan di bawah jagaan pegawai daripada Kementerian Kewangan (pengurusan baharu) dan setelah meneliti serta menyemak rekod SRC, mendapati bahawa pengarah terdahulu SRC tidak mengambil sebarang langkah munasabah bagi memastikan pinjaman KWAP berjumlah RM4 bilion kepada SRC pada 2011 dan 2012 digunakan dengan betul bagi membiayai aktiviti pelaburan am syarikat itu dan keperluan modal kerja am.

Dakwa syarikat itu, pengarah terdahulu tidak memantau pelupusan berjumlah RM3.6 bilion kepada SRC BVI (dana pelaburan dicadangkan) kononnya bagi SRC melaksanakan aktiviti pelaburan dalam sektor tenaga dan sumber di luar negara serta gagal memantau pendedahan Kerajaan Malaysia terhadap jaminan yang diberikan kepada SRC dan gagal menyoal siasat penyalahgunaan dana SRC.

Ia juga mendakwa, pengurusan baharu itu turut mendapati sejumlah besar pengeluaran, pemindahan dan penggunaan pinjaman KWAP adalah secara frod atau salah.

Sementara itu, 1MDB selaku plaintif, pada hari yang sama juga (7 Mei) memfailkan saman terhadap firma guaman Tetuan Wong & Partners dan rakan kongsinya Brian Chia Hock Gee sebagai defendan pertama dan kedua.

1MDB menerusi writ samannya mendakwa kedua-dua defendan secara bersama dan berasingan melanggar kewajipan statutori terhadap syarikat itu bagi pihak Najib dan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low serta sekutu mereka sehingga menyebabkan 1MDB mengalami kerugian sebanyak AS$1 bilion.

1MDB menuntut ganti rugi AS$1 bilion serta pembayaran fi perundangan sebanyak RM664,821.21.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 6:16 PM