JHO Low
JHO Low
Farah Marshita Abdul Patah

Kuala Lumpur: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan syarikat subsidarinya meminda tuntutan saman untuk menuntut RM15.54 bilion (AS$3.7 bilion) daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, ahli keluarga dan sekutunya.

Kenyataan dan writ saman yang dipinda itu turut memasukkan ibu Jho Low, Goh Gaik Ewe dan adik lelakinya, Low Taek Szen sebagai defendan tambahan.

Sebelum ini, 1MDB menuntut untuk mendapatkan semula RM5.88 bilion (AS$1.404 bilion) daripada Jho Low, ayahnya Tan Sri Larry Low Hock Peng, adiknya Low May Lin dan sekutunya Tan Kim Loong selaku defendan.

Selain 1MDB, empat plaintif lain adalah entiti yang berkaitan dengan dana kekayaan berdaulat itu iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, dan Global Diversified Investment Company Limited (sebelumnya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited).

Berdasarkan writ pindaan, plaintif pertama (1MDB) menuntut RM2.77 bilion (AS$661 juta) daripada Jho Low.

Plaintif juga menuntut masing-masing RM172.23 juta (AS$41 juta), RM1.66 bilion (AS$397 juta), RM2.55 bilion (AS$608 juta) dan RM7.98 bilion (AS$1.9 bilion) daripada Jho Low dan Kim Loong.

Manakala sebanyak RM1.36 bilion (AS$325 juta) dituntut daripada Jho Low dan ayahnya Hock Peng.

Plaintif turut menuntut RM2.64 bilion (AS$630 juta) daripada Hock Peng, Jho Low dan Kim Loong, termasuk RM8.4 juta (AS$2 juta) daripada Taek Szen, Jho Low, dan Kim Loong.

Plaintif turut menuntut RM14.7 juta (AS$3.5 juta) daripada May Lin dan Jho Low serta RM7.14 juta (AS$1.695) juta daripada Gaik Ewe, Jho Low dan Kim Loong berhubung pembelian barang emas dan keuntungan rahsia.

Turut dituntut RM107.12 juta (AS$25.5) juta daripada Jho Low, Kim Loong, Hock Peng dan Taek Szen.

Mengikut penyata tuntutannya, plaintif mendakwa kesemua defendan terbabit dalam pelbagai penipuan ketika pemerintahan Barisan Nasional di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Plaintif mendakwa dimanipulasi oleh beberapa kumpulan individu termasuk Najib dan Jho Low yang mengendalikan penipuan berskala besar dan dalam tempoh yang panjang.

Mahkamah menetapkan 12 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Pada 10 Mei lalu, Kementerian Kewangan mengesahkan 1MDB dan SRC International Sdn Bhd memfailkan sejumlah 22 saman sivil bagi mendapatkan semula aset bernilai lebih RM96.6 bilion termasuk kira-kira RM300 juta daripada pelbagai pihak tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 7:09 PM