Roselan Ab Malek


Jerantut: Kepakaran 60 anggota termasuk dua pegawai pasukan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dari Skuadron Ke-9 RAJD, Kem Terendak, Melaka dan Skuadron Ke-11 RAJD (Mekanize), Kem Batu 3, Mentakab berjaya menyiapkan Jambatan Compact Bailey 100 di Kampung Sungai Putat, dekat sini, dalam tempoh 17 jam.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembinaan jambatan Compact Bailey 100 itu bagi menggantikan jambatan lama yang rosak akibat banjir pada awal tahun dan ditutup pada 24 Mac lalu.

Beliau berkata, keadaan itu menyukarkan kira kira 1,000 penduduk Kampung Sungai Putat dan kawasan sekitar ke bandar Jerantut dan ke sekolah terletak di Felda Padang Piol di sini.

Masalah itu menyebabkan penduduk kampung mengambil inisiatif membaiki sendiri jambatan itu menggunakan batang pokok kelapa sehingga mendapat liputan akhbar tempatan.

"Jambatan Compact Bailey 100 yang dibina adalah sepanjang 24 meter dan lebar lima meter dan mengambil masa pembinaan lebih kurang 17 jam mulai 28 April 2021.

"Pemasangan Jambatan Compact Bailey 100 itu salah satu usaha Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membantu memulihkan laluan perhubungan penduduk kampung.

"Antara kampung terjejas ialah Kampung Sungai Putat, Kampung Doja dan Kampung Sungai Yap, kerana kerosakan teruk jambatan asal di Sungai Beletir di Kampung Sungai Putat itu menyukarkan penduduk kerana terputus hubungan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pemasangan Jambatan Compact Bailey 100 di Kampung Sungai Putat, Jerantut, Sabtu lalu.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Ahli Parlimen Jerantut Datuk Ahmad Nazlan Idris dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Tawar Datuk Nazri Ngah.

Katanya, kerja pemasangan jambatan boleh bertahan sehingga 20 tahun itu turut mendapat bantuan teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta koordinasi pihak Agensi Pengurusan Bencana Negeri (Nadma).

"ATM akan sentiasa bersiap sedia membantu pihak berkuasa awam dan akan sentiasa bekerjasama dengan agensi berkaitan di seluruh negara sebagai salah satu daripada Military Operation Other Than War (MOOTW)," katanya.

Isma Sabri berkata, jambatan itu adalah jambatan bailey ketiga dibina ATM di Pahang yang rosak akibat banjir selepas di Kampung Lechar, Raub dan Kampung Belimbing, Maran selain di Kampung Belum Baru, Lenggong, Perak.

ISMAIL Sabri bersama anggota RAJD melihat Jambatan Compact Bailey 100 di Kampung Sungai Putat.
ISMAIL Sabri bersama anggota RAJD melihat Jambatan Compact Bailey 100 di Kampung Sungai Putat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 6:31 AM