Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Sungai Langat di Bukit Changgang yang terletak dalam daerah Kuala Langat kembali melepasi paras bahaya (merah) pada bacaan 4.29 meter (m).

Menurut laporan terkini di laman sesawang InfoBanjir, bacaan itu melepasi paras bacaan normal pada 4.20 m sehingga jam 8 pagi ini.

Sementara itu, Sungai Langat di Dengkil dalam daerah Sepang pula melepasi paras amaran (jingga) iaitu 7.07 m berbanding bacaan normal 6.90 m.

"Tiga lagi sungai berada melepasi paras berjaga-jaga (kuning), membabitkan Sungai Klang di Bandar Klang dalam daerah Klang pada bacaan 2.47 m.

"Sungai Langat di JPS Sungai Manggis (2.22 m) dan Pintu Air Kampung Teluk Pulai (1.33 m) dalam daerah Kuala Langat," menurut laporan itu.

Semalam, Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis mengesahkan enam keluarga membabitkan 15 individu berpindah selepas kawasan rumah mereka di Kampung Sungai Nangka, Banting, dinaiki air, susulan hujan berterusan serta air pasang besar bermula semalam

Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan pada 7.30 malam memaklumkan kawasan kampung berkenaan dinaiki air sehingga ke paras 0.6 m (kira-kira dua kaki).

Katanya, sehingga 10.30 malam enam keluarga membabitkan 13 dewasa termasuk tiga warga emas dan tiga lagi kanak-kanak berpindah ke Dewan Sri Langat dan ada memilih ke rumah saudara.

Dalam pada itu, orang ramai terus diingatkan mengelakkan diri ke kawasan berisiko dan dinaiki air demi keselamatan masing-masing.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my untuk melihat perkembangan terkini dari semasa ke semasa paras air di seluruh negara.

Pasukan skuadron Rejimen Askar Jurutera Di Raja dengan kerja bersama JKR Petaling danJKR Hulu Langat giat melakukan pemasangan jambatan " Bailey Bridge" jambatan sementara di Batu 19 Jalan Sungai Lui bagi memudahkan penduduk Kampung Jawa berhubung dengan penduduk Kampung Mendeling. FOTO OWEE AH CHUN.
Pasukan skuadron Rejimen Askar Jurutera Di Raja dengan kerja bersama JKR Petaling danJKR Hulu Langat giat melakukan pemasangan jambatan " Bailey Bridge" jambatan sementara di Batu 19 Jalan Sungai Lui bagi memudahkan penduduk Kampung Jawa berhubung dengan penduduk Kampung Mendeling. FOTO OWEE AH CHUN.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 8:37 AM