GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) membenarkan solat sunat tarawih, fardu dan Jumaat di masjid bandar, negeri dan jajahan sehingga 70 peratus daripada kapasiti masjid selepas penjarakan fizikal dua meter, berkuat kuasa hari ini.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, ia membabitkan semua 17 masjid di seluruh negeri dan jemaah hendaklah berada dalam saf dengan penjarakan dua meter.

"Aktiviti lain termasuk tazkirah, tadarus al-Quran, iktikaf tidak dibenarkan. Kebenaran ini bagi memberi peluang kepada penduduk untuk beribadat di masjid pada hari terakhir Ramadan.

"Kebenaran peningkatan kapasiti jemaah itu mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, memandangkan kes Covid-19 menunjukkan penurunan di Gua Musang, pelaksanaan solat Jumaat, fardu dan tarawih di masjid mukim dibenarkan dengan 70 peratus daripada kapasiti masjid selepas penjarakan.

Bagaimanapun, menurutnya, aktiviti lain termasuk tazkirah, tadarus al-Quran, iktikaf tidak dibenarkan dan jemaah hendaklah berada dalam saf dengan penjarakan dua meter.

"Semua masjid mukim selain Gua Musang, surau dan musolla di negeri itu masih ditutup untuk semua aktiviti.

"Namun, imam tua, imam muda, bilal serta siak dikehendaki hadir bertugas untuk solat fardu, Jumaat dan tarawih di kawasan masing-masing," katanya.

Beliau berkata, arahan itu berkuatkuasa hari ini sehingga suatu tarikh akan dimaklumkan kelak.

Menurutnya, MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam secara amnya dalam melaksanakan ketetapan itu.

Katanya, SOP itu hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan dan tindakan sewajarnya akan diambil di atas kegagalan untuk mematuhinya.

Sebelum ini, kebenaran solat fardu, Jumaat dan tarawih di 17 masjid negeri, bandar serta jajahan hanya dibenarkan 50 peratus daripada kapasiti masjid selepas penjarakan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 5:52 PM