AZMI (tengah) menyerahkan semula wang tuntutan PSU kepada lapan pekerja yang layak. FOTO Ihsan SPRM Johor
AZMI (tengah) menyerahkan semula wang tuntutan PSU kepada lapan pekerja yang layak. FOTO Ihsan SPRM Johor
Omar Ahmad


Johor Bahru: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menyerahkan semula wang tuntutan palsu Program Subsidi Upah (PSU) yang dituntut syarikat kepada lapan pekerja yang layak.

Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias berkata, Program Menyantuni Masyarakat: Sinar Khas Ramadan adalah rentetan siasatan SPRM Johor berkaitan PSU.

Katanya, tindakan diambil susulan ada syarikat yang didapati mengemukakan tuntutan palsu kepada kerajaan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

"Pada 3 Mac lalu, seorang Pengarah Syarikat di Machap, Batu Pahat, didakwa atas kesalahan membuat tuntutan palsu PSU.

"Mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM20,000 atas dua kesalahan dan tuntutan berjumlah RM9,600 dilucuthak kepada Kerajaan. manakala RM7,780.50 dikembalikan kepada pekerja yang layak.

"Kes yang julung kali dilaksanakan sebagai mana perintah mahkamah, untuk SPRM Johor sendiri menyampaikan wang yang dituntut syarikat tetapi tidak diserahkan kepada yang berhak," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Pencegahan, SPRM Johor Sheikh Hamadi Sheikh Abdul Hamid.

Dalam majlis itu, seramai lapan pekerja menerima PSU yang ditetapkan.

Azmi berkata, pekerja juga bersyukur dan berterima kasih kepada SPRM yang menyiasat isu ini dengan telus dan adil.

Katanya, mereka juga menyatakan keyakinan mereka terhadap SPRM.

"Ini memberi gambaran yang jelas bahawa SPRM bukan sahaja mendakwa pemberi dan penerima rasuah, bahkan membela nasib pekerja yang dinafikan hak mereka oleh individu atau syarikat.

"Saya menyeru orang ramai membuat aduan kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui sebarang penyelewengan mana-mana peruntukan kerajaan oleh pihak tertentu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 10:50 PM